PICKids children Covid-19 vaccine
.Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) lima hingga 12 tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 MAC 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 50 peratus kanak-kanak di negara ini mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah itu disasarkan pihaknya setelah kerajaan melanjutkan tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama Covid-19 bagi kanak-kanak melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

“Marilah kita sasarkan sejumlah 50 peratus kanak-kanak di negara ini diberikan vaksini Covid-19 menjelang tarikh akhir. Lindungi anak-anak anda dengan PICKids,” katanya di Twitter hari ini.

KKM sebelum ini melanjutkan tarikh akhir pemberian dos pertama vaksin Covid-19 sehingga 31 Mei depan.

Bagaimanapun, tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei dikekalkan serta tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut.

Sehingga semalam, seramai 1,063,569 atau 30% kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun lengkap menerima vaksin di bawah PICKids.

Menurut laman web CovidNow, seramai 1,646,257 kanak-kanak atau 46.4% daripada kumpulan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, 2,905,317 (93.4%) lengkap menerima vaksinasi, manakala 3,002,852 (96.5%) daripada kumpulan sama menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam tempoh sama, sejumlah 16,066,394 atau 68.3% orang dewasa menerima dos penggalak, manakala 22,971,246 (97.6%) lengkap dua dos dan 23,247,211 (98.8%) menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. – MalaysiaGazette