Penduduk melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan mereka yang terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat berterusan lebih tiga jam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Jawa Kerling, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2022.

KUALA KUBU BARU – Sudahlah raya mengejut, banjir pun mengejut, itu yang dialami warga Kampung Jawa Kerling, Kuala Kubu Baru, Selangor yang dikejutkan dengan bencana banjir yang bermula kira-kira pada 3 petang semalam.

Apa yang lebih menyedihkan sehingga kini, terdapat penduduk kampung itu mendakwa tiada bantuan yang sampai kepada mangsa banjir.

Wartawan MalaysiaGazette berkesempatan menemui beberapa penduduk kampung tersebut melahirkan rasa kecewa dan amat berharapkan bantuan disalurkan kepada mereka untuk meringankan beban yang ditanggung.

Mohd Zaki Marjo

Bagi Mohd Zaki Marjo, 46, yang ditemui ketika sedang mengemas rumah emaknya berasa sedih  dan kecewa dengan langkah kerajaan negeri yang didakwa culas serta gagal melaksanakan tindakan awal dalam menangani bencana banjir itu.

Beliau berkata, sewaktu kejadian hanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang kelihatan untuk membantu mangsa-mangsa menyelamatkan diri.

Beliau mendakwa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sampai ke lokasi kejadian selepas rakaman video anaknya yang mempunyai penyakit asthma lelah dan kemudian mengalami sesak nafas tular di media sosial

Katanya, kerajaan sepatutnya sudah mengambil iktibar daripada bencana terdahulu namun apa yang kelihatan sekarang, seolah-olah tidak mengambil endah akan nasibnya.

“Sekarang ini dah ada pengalaman banjir besar di Shah Alam, serata Selangor. Kita pun tak tahu nak jadi mcm ni, sepatutnya kerajaan dah ambil iktibar, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), APM dah bersedia awal-awal.

“Zaman sekarang ini semuanya dihujung jari, patutnya cepatlah turun ambil tindakan, beri lah apa yang utama seperti makanan.

“Saya tanya-tanya.. apa yang dia cakap cuma on the way, on the way tapi tiada.. Bukan kita nak minta nasi goreng ke Pizza Hut ke KFC ke.. sekurang-kurangnya air kosong, dan roti tu je..,” katanya.

Edmy Ramelan

Semalam MalaysiaGazette melaporkan kira-kira lebih 20 buah rumah terkesan di kawasan itu akibat bah ekoran hujan lebat yang berlarutan lebih tiga jam.

Dalam pada itu, Edmy Ramelan, 50, tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan yang disifatkannya sebagai tidak boleh diharap.

Beliau yang sedang mengemas rumah emaknya bersama ahli keluarga terpaksa berhempas pulas dek kerana tiada bantuan daripada wakil rakyatnya serta kerajaan.

Menurut Edmy, maklumat tentang pra-bencana hanya diperoleh daripada jirannya yang tinggal berhampiran kawasan jambatan yang berpandukana kepada aras air sungai.

“Sebelum, semasa, selepas, memang tiada apa-apa pengumuman daripada mana-mana agensi kerajaan.

“Dari segi bantuan pun, setakat ini memang tiada, semuanya sendiri.

“Saya memang dah jangka perkara ini (keculasan) akan berlaku, melainkan kalau mereka datang, baru kita ubah fikiran.

“Bantuan dari segi manpower pun tiada, semua kena selesaikan sendiri, sekeping roti pun tiada, sebotol air mineral pun tiada,

“Yang ada cuma air teh ini,” sindirnya sambil melihat air takungan banjir di dalam rumah emaknya itu sambil menambah beliau redha dengan ketentuan itu.

“Semua terpaksa selesaikan sendiri, mereka (kerajaan) bukan setakat lepas tangan, lepas kaki.., sekali kepala semua lepas,” katanya.

Nor Hasrul Abdul Hamid

Bagi Nor Hasrul Abdul Hmamid, 40, memberitahu, siren amaran yang terletak berhampiran sungai tidak berfungsi, dan maklumat hanya diperolehi daripada jiran-jiran terdekat yang menilai tahap ketinggian air Sungai Kerling.

“Bantuan pun tiada, memang keluar duit sendiri. Sudahlah ditimpa banjir, makan minum pun terpaksa keluar duit lagi.

“Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) yang kita nampak datang ke sini pun hanya bantu rumah di sebelah depan kampung sahaja.. kami yang dibelakang ini seolah-olah dianak tirikan.

“Patutnya kerajaan kena peka lah, tiada sesiapa pun yang datang tengok kami,” ujarnya.

Tambah Nor Hasrul, jika hendak dibandingkan inisiatif kerajaan daripada banjir lepas dan yang berlaku sekarang ditempatnya seolah oleh tiada perubahan yang baik. -MalaysiaGazette

20 rumah Kampung Jawa Kerling dilanda banjir