Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis (kiri), Aminah Abdullah (kanan)

PUTRAJAYA – Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Mohd Jarjis gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengemukakan keterangan lanjut dalam rayuannya berhubung saman sivil untuk memasukkan saham syarikat sebagai sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk M.Gunalan menolak permohonan Aminah Abdullah dengan kos RM5,000.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Lee berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan Aminah untuk mengemukakan keterangan Datuk Zakri Afandi Ismail dalam rayuan itu.

Beliau berkata Aminah mempunyai peluang untuk memanggil Zakri dan telah subpoena beliau tetapi memilih untuk tidak memanggilnya atas sebab-sebab yang hanya beliau (Aminah) sahaja yang mengetahuinya.

Hakim Lee berkata keterangan yang diperlukan oleh Aminah hanya dalam bentuk pernyataan afidavit yang difailkan oleh Zakri dalam tuntutannya terhadap dua cucu Aminah sambil menambah bahawa mahkamah belum menilai bukti itu kerana perbicaraan masih belum dimulakan. – BERNAMA