Tee Siew Kiong

JOHOR BAHRU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong hari ini mengesahkan keahliannya dengan parti MCA digantung selama lima tahun berkuat kuasa Jumaat lepas.

Tee, 58, yang juga Ketua Bahagian MCA Pontian itu berkata, beliau mendapat salinan surat  penggantungan itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada kakitangan parti, sehari sebelum sambutan Hari Wesak.

Beliau berkata, sebab penggantungan yang diberikan parti berkenaan adalah atas tindakannya mengadakan sidang media dan Facebook live pada 25 Feb lepas berhubung namanya tidak dicalonkan oleh parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lepas.

“Saya berasa pelik kenapa parti mengenakan tindakan tegas terhadap saya atas sebab mengadakan ‘live’ (siaran langsung) dan sidang media semata-mata untuk jelaskan kebenaran sahaja (tentang mengapa tidak dicalonkan).

“Saya juga rasa hukuman ini tidak masuk akal kerana orang lain yang pernah melakukan kesalahan sebelum ini hanya digantung selama setengah tahun hingga tiga tahun sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut mendakwa penggantungan itu bersifat peribadi oleh pihak-pihak tertentu yang menyasarkan dirinya susulan pemilihan parti MCA tidak lama lagi.

Tee yang telah pun bersama parti hampir 40 tahun dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan & Kepenggunaan negeri itu, akan mendengar pendapat daripada semua pihak sebelum membuat keputusan dalam masa 14 hari sama ada untuk membuat rayuan atau tidak.

Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah itu pernah menjadi ADUN Pulai Sebatang sejak 2004 hingga 2018.

Menurut surat bertarikh 13 Mei yang ditandatangani Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Tee telah mengkritik kepimpinan parti dan mengeluarkan kenyataan palsu pada sidang media yang turut disiar secara langsung menerusi Facebook semasa PRN Johor.

Justeru, Majlis Presiden MCA dalam mesyuarat yang diadakan pada tarikh sama, telah menerima pakai laporan dan cadangan daripada Lembaga Disiplin MCA dan selepas perbincangan, memutuskan untuk menggantung keahlian Tee selama lima tahun berkuat kuasa serta-merta.

Surat itu menyatakan Tee boleh membuat rayuan secara bertulis kepada jawatankuasa pusat parti dalam  tempoh 14 hari selepas menerima keputusan itu. – Bernama