KUALA LUMPUR – Selepas memenangi gelaran penjaring gol terbanyak tempatan bagi saingan Liga Premier 2021, penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani ada menyimpan misi yang lebih besar musim ini.
Beliau mahu memberikan cabaran kepada pemain import dengan cuba letakkan sasaran muncul penjaring terbanyak Liga Premier.
Berbekalkan lima jaringan setakat ini bersama Kelantan dalam tujuh perlawanan, Nurshamil mula memasang impian untuk meraih rekod jaringan yang lebih baik pada musim 2022.
“Memang saya letakkan sasaran untuk mendapatkan gelaran penjaring terbanyak keseluruhan selepas berjaya mendapatkannya menerusi kategori tempatan.
“Malah, saya gembira dengan kerjasama pemain import (Kervens Belfort, Nixon Guylherme) yang sentiasa berikan bantuan kepada saya untuk menjaringkan gol.
“Ini sesuatu yang berbeza dengan pasukan lain kerana biasanya pemain tempatan yang selalu kena beri bantuan kepada pemain import.
“Satu lagi tujuan saya mahu memenangi gelaran ini adalah untuk membuktikan serta menaikkan semula imej penyerang, jika diberi ruang, kami sebenarnya masih mampu menyumbang kepada pasukan,” katanya.
Nurshamil kini hanya ketinggalan satu gol kepada Fernando Rodriguez (JDT II), Martin Adamec (PDRM FC) dan Njoku Jacob (Kelantan United FC) dengan masing-masing meledak enam jaringan.
Musim lalu, Nurshamil menjaringkan sembilan gol untuk dinobatkan selaku penjaring terbanyak tempatan Liga Premier dengan penjaring terbanyak keseluruhan dimenangi Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II).
Dalam pada itu, Nurshamil berkata, dia berpuas hati kerana Kelantan buat masa ini berada di laluan yang tepat bagi mengejar kejuaraan Liga Premier.
Meletakkan JDT II sebagai pencabar utama yang kini menduduki tangga teratas Liga Premier, dia jug melihat Kuching City FC serta Kelantan United antara dua pasukan yang perlu diberi perhatian.
“Semua perlawanan yang dilalui adalah sukar kepada kami dan kami tidak jangka cukup sengit saingan musim ini.
“Seperti JDT II, kami memang ada menewaskan meereka pada perlawanan pertama tetapi masa itu, mereka belum dilihat belum bersedia dan selepas mendapatkan pemain dari JDT, mereka sangat baik pada masa sekarang.
“Kami juga tewas dengan Kuching City selain Kelantan United yang saya rasa mampu berikan cabaran.
“Jadi,kami kena pandang cabaran dari semua pasukan adalah sama jika mahu sentiasa konsisten dalam kelompok mengejar kejuaraan Liga Premier,” katanya. – MalaysiaGazette