foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk membantu siasatan berhubung kes meminta suapan berjumlah kira-kira RM80,000.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun itu yang merupakan seorang penolong jurutera di salah sebuah agensi kerajaan telah meminta suapan bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan sebuah sekolah di satu daerah di Selangor.

Menurutnya, individu yang ditahan itu adalah pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek tersebut.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan oleh sepasukan pegawai SPRM Selangor setelah menerima wang tunai RM10,000 daripada seorang individu lain di sebuah restoran sekitar Bangi kira-kira jam 4 petang tadi bagi membantu siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut.

Katanya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk tujuan reman. – MalaysiaGazette