Putra Bahagian Pasir Mas bantu penduduk gali telaga tiub untuk mendapatkan sumber air.

PASIR MAS – Lebih 3,000 penduduk di tiga kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong berdepan dengan masalah bekalan air sejak sekian lama.

Kampung terlibat ialah Hutan Chengal, Manir dan Bechah yang lebih dua tahun bekalan air tidak dibekalkan secara tersusun.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali bersama kepimpinan SaveKelantan turun mendengar permasalahan itu dari penduduk.

Katanya, masalah itu diatasi dengan Putra membiayai kira-kira 50 peratus daripada kos mendapatkan sumber air bawah tanah untuk disalurkan ke setiap rumah yang terlibat.

Menurut beliau, kos itu melibatkan RM65,000 bagi kerja menggali telaga tiub.

“Putra Bahagian Pasir Mas dengan kerjasama penduduk memulakan kerja menggali telaga tiub untuk mendapatkan sumber air.

“Penduduk ketandusan air bersih sejak sekian lama yang disebabkan kegagalan kerajaan Pas Kelantan mentadbir,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Ibrahim, rakyat Kelantan berada dalam keadaan terhimpit dan terdesak untuk mendapatkan sumber air bagi menguruskan keperluan harian tetapi gagal kerana kerajaan negeri tidak prihati dengan permasalahan mereka.

Sebaliknya, beberapa pemimpin kerajaan Pas Kelantan memberi pelbagai alasan yang tidak masuk akal seperti meminta rakyat menggunakan air sama ada untuk minum atau mandi di sungai belakang sebuah pasar raya.

Malah, kata beliau, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah turut menafikan negeri itu berdepan masalah air kritikal kerana sumber itu didapati banyak berada bawah tanah.- MalaysiaGazette