Remaja maut selepas motosikal yang diboncang bersama abang iparnya dilanggar kereta pacuan empat roda yang dipandu lelaki tidak berlesen dalam kejadian hari ini. Ihsan foto IPD Klang Selatan

KLANG – Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal yang diboncengnya dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Persiaran Masjid Sultan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dalam kejadian pukul 7 pagi itu, Mohammad Nizwan Mohd. Nizam, 19,  yang berasal dari Tawau, Sabah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala abang iparnya, Mohd. Basri Hamdi, 46, yang menunggang motosikal mengalami kecederaan ringan.

“Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu lelaki 4WD berusia 38 tahun yang berasal dari Seksyen 9 Shah Alam itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah dari Sungai Pinang.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu tidak menyedari sebuah motosikal jenis SYM VF3i 185 dinaiki dua lelaki keluar dari simpang di sebelah kiri jalan.

“Kenderaan pacuan empat roda itu kemudiannya tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Hoong Fong, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, untuk melakukan proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas pemandu 4WD yang berasal dari Seksyen 9, Shah Alam itu mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu.

“Individu berkenaan (pemandu 4WD) telah ditahan dan selesai dirakam keterangan daripadanya sebelum dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi,” ujar.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaGazette