Laksamana Muda Hamid Mohd Amin.

PUTRAJAYA – Fasa Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021  telah mengubah trend sindiket dan penjenayah untuk menggunakan sempadan laut dalam modus operandi mereka.

Malah trend jenayah maritim dilihat telah terus berlaku dan meningkat secara drastik sejak negara memasuki fasa peralihan endemik sejak 1 April lalu, menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Muda Hamid Mohd Amin.

Katanya, bermula Januari hingga April lalu, Maritim Malaysia telah merekodkan sejumlah 340 kes yang melibatkan aktviti jenayah merangkumi penyeludupan dadah, ketum, barang kawalan bersubsidi, pendatang asing tanpa izin (PATI), pencerobohan bot nelayan asing serta kesalahan-kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Kes-kes ini turut membabitkan akta-akta yang tertakluk di bawah bidang kuasa jabatan dan agensi tertentu seperti Akta dadah Berbahaya 1969, Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1957/63, MSO dan lain-lain akta yang berkaitan.

“Maritim Malaysia selaku agensi yang menguatkuasakan undang-undang Persekutuan di perairan negara melihat perlunya satu persefahaman, kesepakatan serta kolaborasi antara agensi terlibat dalam aspek penguatkuasaan dan perundangan akta-akta maritim bagi mewujudkan keseragaman pelaksanaan secara kolektif demi mengatasi situasi kawasan berpotensi diceroboh yang membabitkan keselarasan penguatkuasaan dan pertindihan kuasa.

“Oleh demikian kami mengambil inisiatif menganjurkan seminar buat julung kali bagi memperkasakan penguatkuasaan antara agensi dalam negara untuk membanteras dan memerangi jenayah maritim terutama aktiviti jenayah rentas sempadan yang melibatkan pemerdagangan manusia dan migran (ATIPSOM),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Hibrid Penguatkuasaan Maritim Siri 1 Tahun 2022 melibatkan penyertaan daripada Maritim Malaysia, Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tambah Hamid, beberapa kertas kerja berkaitan cabaran yang dihadapi dalam penguatkuasaan serta perundangan akta-akta Maritim akan dibincangkan dan dibentangkan dalam seminar berkenaan untuk mencari langkah holistik menangani pencerobohan perairan di masa hadapan selain berkongsi maklumat kepakaran antara agensi.

Menurutnya, percubaan untuk menceroboh sempadan perairan negara turut dikesan semakin meningkat secara drastik dan membimbangkan selepas Malaysia membuka sempadan negara sejak 1 April lalu.

Katanya, selain percubaan kemasukan PATI, Maritim Malaysia mengesan pencerobohan nelayan asing yang semakin berani menghampiri pulau-pulau di sempadan negara.

“Di Pantai Timur, aktiviti pencerobohan dan pengumpulan hasil laut oleh nelayan Vietnam semakin berani turun hingga ke Pulau Tioman untuk menangkap ikan.

“Baru-baru ini dua ditangkap dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara dan kita percaya kegiatan sindiket ini bersengkongkol dengan tekong darat tempatan…kita akan banteras habis-habisan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, pencerobohan nelayan asing jika tidak dibanteras akan memberi impak besar kepada bekalan hasil laut untuk pasaran domestik.

Justeru katanya, menerusi kejayaan operasi khas gabungan antara agensi antaranya Op Naga pada 2019 menjadi penanda aras kepada keberkesanan kolaborasi operasi penguatkuasaan agensi yang mana ia berjaya merekodkan sebanyak 490 kes tangkapan bot nelayan asing dengan penahahan seramai 3,589 kru warga asing yang menceroboh perairan dan mencuri sumber laut Malaysia membabitkan rampasan bernilai RM735 juta beserta denda dan kompaun.

“Manakala Op Benteng Laut yang bernaung di bawah entiti Nasional Task Force (NTF) yang dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM bersama Maritim Malaysia membuktikan bahawa kolaborasi antara agensi berupaya menghasilkan impak yang positif dalam membanteras aktiviti jenayah maritim di perairan negara.

“Menerusi Op Benteng Laut merekodkan 5,572 kes dengan penahanan seramai 19,805 pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pelbagai kewarganegaraan termasuk tekong dan ejen membabitkan nilai rampasan berjumlah RM856,179, 920 direkodkan ke atas kes kes penyeludupan manusia, dadah dan contraband serta barang kawalan lain.

“Kejayaan-kejayaan itu membawa harapan tinggi kepada penguatkuasaan Maritim Malaysia terhadap kesepakatan yang dijalin menerusi hasil seminar dalam menguatkuasakan undang-undang Persekutuan di perairan negara merangkumi keluasan 614,000 kilometer persegi dengan pantai sepanjang 6,036.7 kilometer,” katanya. – MalaysiaGazette