Abdul Somad

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas terkenal Indonesia, Abdul Somad Batubara dilarang masuk ke Singapura kerana ajarannya didakwa bersifat pelampau.

Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura, ajaran yang dibawa oleh Abdul Samad tidak boleh diterima dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.

“Sebagai contoh, beliau berdakwah bahawa serangan nekad dibenarkan dalam konteks krisis Israel-Palestin dan dianggap sebagai operasi mati syahid.

“Beliau juga pernah membuat kenyataan yang memburuk-burukkan anggota masyarakat agama lain seperti orang Kristian, dengan menyifatkan salib sebagai tempat tinggal jin kafir,” menurut MHA.

“Selain itu, Abdul Somad juga pernah menyebut anggota masyarakat bukan Islam sebagai kafir, tambah MHA seperti yang dilaporkan oleh portal Berita Mediacorp Singapura.

Pendakwah Indonesia itu tiba di Singapura pada Isnin lalu namun dilarang daripada masuk ke republik tersebut.

Beliau dihantar pulang semula ke Batam, Indonesia pada hari yang sama.

Enam orang yang datang bersamanya termasuk anak dan isteri juga tidak dibenarkan memasuki Singapura.

Mereka yang tiba di Terminal Feri Tanah Merah dihantar pulang dalam sebuah feri ke Batam pada hari yang sama.

Kementerian itu menyatakan setiap kes dinilai berdasarkan merit tersendiri.

“Walaupun Abdul Somad cuba memasuki Singapura bagi sebab lawatan sosial, pemerintah memandang serius sesiapa sahaja yang menyokong keganasan dan/atau mendukung ajaran pelampau dan memecah belah masyarakat,” tegas MHA.

Abdul Somad dalam media sosialnya semalam meminta pihak berkuasa Singapura menyatakan alasan beliau tidak dibenarkan masuk ke negara tersebut.

“Itulah, yang mereka tak bisa menjelaskan (sebab sekatan), itu yang pengawal imigresen tak bisa menjelaskan. Jadi, yang bisa menjelaskan kedutaan Singapura di Jakarta.

“Anda harus menjelaskan kepada komuniti, kenapa negara anda, kerajaan anda menolak kami.

“Kenapa? Apakah kerana terrorist, apakah kerana ISIS, apakah bawa narkoba (dadah)? Perlu jelaskan,” katanya dalam wawancara di saluran YouTube Hai Guys Official.

Kehadiran Abdul Somad ke Singapura adalah untuk bercuti bersama keluarganya.

Abdul Somad bukan sahaja popular di Indonesia malah kehadiran pendakwah itu juga diterima di Malaysia.

Setiap kali Abdul Somad mengadakan ceramah di Malaysia akan dipenuhi oleh hadirin. – Agensi

ARTIKEL BERKAITAN:

Ustaz Abdul Samad disekat masuk Singapura