Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kanan) beramah mesra dengan sebahagian kakitangan KDN yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Belum ada apa-apa persetujuan mengenai senarai nama calon bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Malah menurutnya perkara itu masih belum dibawa ke meja perbincangan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

“Sebenarnya tidak ada lagi persetujuan di peringkat MPT sebab itu saya tidak mahu bangkitkan isu ini selepas kita berbincang semula dalam peringkat MPT.

“Ini perkara biasa memang kadang-kadang ada orang yang nak mendahului daripada parti itu sendiri,” katanya kepada wartawan ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengumuman Bersatu Terengganu yang menamakan Timbalan Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Rosol Wahid untuk bertanding Parlimen Hulu Terengganu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu negeri, Senator Datuk Razali Idris.

Malah Razali turut berkata nama Rosol sudah diserahkan kepada presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

Nama Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) juga dipersetujui pada perbincangan awal dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri.

Pada Isnin lalu, Razali yang juga Ketua Bersatu Bahagian Marang mengumumkan PN negeri pada dasarnya bersetuju membenarkan Bersatu bertanding di dua kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai BN pada PRU-15.

Pada PRU-14 lalu, BN menang 10 daripada 32 kerusi DUN iaitu Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi dan Kijal. – MalaysiaGazette