pegawai SB memfailkan saman fitnah menerusi peguamnya M Manoharan pada 23 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas diplomat dan pengarah Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Bersih 2.0 dan Majlis Peguam untuk merujuk beberapa persoalan perlembagaan berhubung kesahihan pengisytiharan darurat pada 2020 yang berakhir sehingga Ogos tahun lepas kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, dalam penghakiman melalui e-mel, berkata kesemua persoalan itu boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

“Saya berpendapat bahawa inti pati permohonan ini bukan di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Persekutuan… Bidang kuasa untuk memutuskan persoalan perlembagaan itu tertakluk kepada Mahkamah Tinggi,” katanya yang menolak permohonan tanpa kos.

Peguam Bersih 2.0, Edmund Bon Tai Soon ketika dihubungi mengesahkan bahawa mahkamah itu menolak kedua-dua permohonan badan pemantau pilihan raya tersebut dan Majlis Peguam.

Majlis Peguam telah mengemukakan 27 persoalan undang-undang mengenai kesahihan pengisytiharan darurat Malaysia dan Ordinan Darurat negara manakala Bersih mengemukakan tujuh persoalan berhubung perkara itu.

Pengisytiharan itu, berkuat kuasa dari 21 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021, adalah bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang bermula secara global pada awal 2020.

Bersih 2.0 dan Majlis Peguam menamakan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta kerajaan sebagai reponden. – Bernama