Lelaki didakwa menunjukkan senjata di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya semalam merupakan peserta festival animasi.

KUALA LUMPUR – Lelaki didakwa menunjukkan senjata di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya semalam merupakan peserta festival animasi.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid yang merujuk kepada video yang tular di media sosial itu.

Video berkenaan memaparkan seorang lelaki sedang berjalan sambil menyelak bajunya menampakkan satu objek yang menyerupai senjata diselitkan di seluarnya.

Jelas Fakhruddin, lelaki tersebut turut menggayakan watak animasi semasa hadir ke festival yang diadakan selama empat hari bermula 13 Mei baru-baru ini.

Ekoran daripada tularnya video tersebut, satu laporan polis telah dibuat dan polis juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat mengenai penularan video tersebut yang dipercayai kejadian telah berlaku dalam sebuah pasaraya di kawasan Petaling Jaya yang mana telah menganjurkan satu festival animasi selama empat hari bermula 13 Mei sehingga 16 Mei,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, polis sedang mengesan pemilik akaun laman sosial yang menularkan video berkenaan dan juga individu yang terlibat dalam rakaman yang tular untuk membantu siasatan.-MalaysiaGazette