KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Siti Zabedah Kasim memohon sumbangan orang awam untuk membantu operasi pusat khidmatnya.
Peguam kontroversi yang lebih dikenali sebagai Siti Kasim itu berkata, sumbangan tersebut juga sebagai persediaannya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Menurutnya, akaun bank berkenaan bukanlah untuk kegunaan peribadi beliau dan akan diaudit selepas PRU-15.
“Hai rakyat Malaysia, ini adalah Siti Kasim. Seperti yang anda ketahui saya baharu sahaja buka pusat perkhidmatan untuk menolong masyarakat awam.
“Untuk mengoperasikan pusat ini kita memerlukan wang. Duit itu bukan untuk membayar gaji kami tetapi untuk mengoperasikan pusat ini seperti membayar bil, sewa dan lain-lain lagi.
“Akaun ini di atas nama saya tetapi ia bukan untuk kegunaan sendiri. Ia akaun diaudit. Saya harap anda boleh menyumbang sebanyak mungkin. Buat baik dengan orang lain. Jadi tolong saya untuk menolong yang lain,” katanya.
Siti Kasim antara lima calon yang telah diumumkan oleh Gerak Independent untuk bertanding dalam PRU-15.
Beliau akan diletakkan sebagai calon di Parlimen Batu yang merupakan kerusi tradisi milik PKR.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Kasim telah membuka pusat khidmat masyarakatnya di kawasan Parlimen tersebut baru-baru ini.
Dikenali sebagai Pusat Khidmat Siti Kasim, pusat itu sama seperti yang disediakan oleh kerajaan tempatan di United Kingdom, tempat dia tinggal selama 17 tahun sebelum kembali ke Malaysia pada 2004.
“Saya tidak melakukan ini untuk menarik perhatian rakyat. Ahli Parlimen adalah untuk membantu rakyat. Ahli Parlimen yang berkesan ialah seorang yang akan bercakap mengenai isu rakyat, termasuk isu sensitif di khalayak ramai dan di Parlimen,” katanya.
Ditanya mengapa memilih Parlimen Batu, Siti Kasim percaya majoriti penduduk di kawasan itu akan memahami ideologinya dan tidak menentang sesiapa sebaliknya berjuang untuk kemajuan negara.
Dia berkata, adalah tidak bijak untuk bertanding di tempat yang mempunyai penduduk berprasangka buruk terhadapnya.
Kajian yang dilakukannya menunjukkan penduduk Parlimen Batu akan lebih menerimanya daripada banyak tempat lain.
Pusat Servis Siti Kasim terletak di B-2-3A Viva, No 378 Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan akan dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang dari Isnin hingga Jumaat .- MalaysiaGazette