Norena Jaafar

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan tidak akan berlaku kekurangan bekalan ayam di negeri ini susulan penutupan operasi sebuah pembekal utama ayam di Merlimau, Jasin di sini selama dua hari iaitu pada Sabtu dan Ahad ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, ia kerana Melaka masih mempunyai banyak pengeluar ayam lain yang mampu menampung permintaan penduduk negeri tersebut selain dua pengeluar utama itu.

Sehubungan itu, jelasnya rakyat di negeri ini diminta tidak panik sehingga membuat pembelian pukal ayam yang dikhuatiri memburukkan keadaan sehingga menyebabkan bekalan terjejas.

“Semalam saya dah lihat ladang pengeluar ayam terbabit dan memang mereka beri penutupan operasi dua hari sebab ada masalah dari segi pertumbuhan saiz ayam, namun kita jamin ia tidak akan menjejaskan bekalan ayam bulat di Melaka.

“Selain syarikat berkenaan, kita ada banyak lagi pembekal di Melaka yang mampu memenuhi permintaan ayam di pasaran,” katanya pada sidang media selepas Program Pengguna Bestari Sentuhan Kasih Aidilfitri KPDNHEP Melaka di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Norena berkata, orang ramai diminta tidak membuat pembelian panik atau menyimpan stok ayam kerana takut bekalan ayam bulat habis di pasaran.

“Tindakan ini hanya akan mendatangkan kesusahan kepada pengguna lain terutamanya kita masih lagi dalam musim perayaan yang menyaksikan orang ramai membuat rumah terbuka Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette