BUKIT MERTAJAM – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terjatuh daripada motosikal yang diboncengnya sebelum digilis sebuah lori di Jalan Kampung Baru di sini hari ini.

Kejadian jam 1.40 petang itu menyebabkan Nur Airis Iman, 10, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil siasatan mendapati motosikal yang ditunggang ibunya itu hilang kawalan sebelum kedua-dua mereka terjatuh di atas jalan raya.

Jelas beliau, dua beranak itu terjatuh di bawah sebuah lori yang datang dari laluan sama.

“Wanita dewasa itu sempat menyelamatkan diri namun anaknya gagal sebelum digilis lori tersebut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Shafee, ibu mangsa mengalami kecederaan ringan akibat kejadian telah menerima rawatan di hospital yang sama.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkitan Jalan 1987,” kata beliau.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Alma memuat naik ucapan takziah kepada keluarga mangsa menerusi laman Facebook rasmi mereka.

Dalam ucapan tersebut, pihak sekolah turut meluahkan rasa sedih atas kehilangan seorang pelajar yang periang dalam kalangan rakan-rakan serta guru. – MalaysiaGazette