Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2022 (DPT BLN4/2022) telah diperaku dan diwartakan pada hari ini.

Daftar pemilih tambahan itu dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 17 Jun depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Ikmalrudin Ishak.

DPT BLN4/2022 ini mengandungi nama bagi 40,201 orang warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 April hingga 30 April 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 9,972 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,669 orang pemilih bertukar status/kategori pengundi.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, pihaknya  menyediakan lima kaedah semakan bagi daftar pemilih tambahan itu yang membabitkan portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my; aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Katanya, SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 April 2022 hingga 30 April 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN4/2022

“Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN4/2022, mereka boleh membuat Tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini..

Menurut Ikmalrudin, Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat – Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN4/2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast