Ismail Sabri Yaakob Sulu Sultan Sabah claims
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju dengan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan itu akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan sebelum sesi libat urus diadakan dengan parti-parti politik.

“Skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawal seliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.

“RUU ini penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik dan ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan kerajaan,” kata Ismail Sabri.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Ismail Sabri hari ini.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk melakukan kajian terhadap cadangan pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, kajian mendalam perlu dilakukan kerana ianya melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan negara.

“Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini,” katanya.

Selain itu Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) akan diperkenalkan di semua agensi Kerajaan termasuk badan berkanun.

MyGovernance merupakan satu pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus

“MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu-isu kelemahan tadbir urus aspek Kerajaan termasuk badan berkanun,” kata Ismail Sabri.

Pelan tersebut berdasarkan empat prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan.

Katanya, satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance.

Selaras dengan pembangunan tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI).

Tambah Ismail Sabri, mesyuarat JKKMAR akan datang akan membincangkan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan juga bersetuju supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak.

Katanya, langkah itu amat amat penting dan perlu disegerakan ke arah usaha yang lebih berkesan bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil kerajaan.

“Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar tersebut,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguat kuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan.-MalaysiaGazette