Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas Program World Asthma Day 2022 di Connexion Conference & Event Centre (CCEC), Bangsar South, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 MEI 2022.

BANGSAR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yakin rakyat negara ini mampu  menjayakan peralihan fasa pandemik ke endemik.

Keyakinan itu dizahirkan menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berdasarkan tingkah laku baik yang dipamerkan rakyat negara ini sepanjang pandemik Covid-19 di negara ini.

“Saya nampak rakyat memang ada kemampuan untuk menjayakan peralihan endemik ini, tak perlu kuatkuasakan undang-undang hantar notis kompaun berbanding negara-negara lain.

“Tengok negara-negara lain lebih longgar dari segi pematuhan SOP mereka, kita tengok pemakaian pelitup muka tiada masalah, ini perisai penting.

“Kedua, kadar vaksinasi kita tinggi. Ini bukan soal jumlah kes,vaksinasi bantu turunkan kesan buruk akibat Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Hari Asma Sedunuia 2022 di Bangsar, hari ini.

Khairy turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mempamerkan tingkah laku yang baik pada pada peralihan ke endemik.

“Tengok hospital tak penuh kes Covid-19, banyak kes lain boleh diselesaikan beri tumpuan penyakit lain. Ini adalah kejayaan rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Jawatankuasa Petugas Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden buli dalam kalangan doktor, Khairy berkata, beliau telah mengarahkan KKM untuk memberikan kerjasama.

Malah, katanya, jawatakuasa itu telah diberikan kebebasan untuk membuat sebarang siasatan berhubung isu berkenaan.

“Jawatankuasa Petugas Bebas ini berjanji dalam tempoh dua bulan akan hantar laporan kepada saya, sekarang bagi peluang task force buat kerja.

“Saya juga sudah mengarahkan KKM dan agensi di bawah KKM untuk memberi kerjasama kepada petugas khas ini, mereka boleh tanya apa-apa sahaja soalan dan kepada sesiapa sahaja.

“Tiada apa-apa yang perlu disembunyikan daripada petugas khas, boleh jumpa mana-mana pegawai untuk mendapatkan maklumat,” kata Khairy lagi.

Jawatakuasa itu ditubuhkan bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini.

Jawatankuasa itu turut bertindak untuk meneliti dakwaan budaya buli yang berlaku antara doktor dan doktor pelatih di hospital awam.

Penubuhan jawatankuasa itu susulan kematian seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 pada 17 April lalu dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di bangunan berhampiran di Jalan Datuk Keramat, Georgetown.

Doktor pelatih itu disahkan melaporkan diri di Hospital Pulau Pinang pada 4 April lalu. – MalaysiaGazette