Gambar hiasan

 

TULAR di media berkenaan doktor pelatih yang dibuli oleh doktor-doktor senior sebenarnya bukanlah satu budaya baru dalam mana-mana sektor pekerjaan sekalipun. Apa yang berbeza hanyalah generasi kini lebih mudah membuat laporan bagi
menyelesaikan masalah tersebut. Laporan yang dibuat boleh diperbesarkan terutamanya melalui platform sosial media yang popular dalam masyarakat hari ini.

Dalam hal ini, persepsi boleh dianggap berbeza oleh seorang individu dengan individu yang lain. Kebanyakan kes yang berlaku rata-rata disebabkan oleh ketidakpuasan hati yang berlaku di antara pekerja senior terhadap pekerja atau pelatih baru yang masih belum mahir. Walaupun selalunya ia berkait rapat dengan mutu atau cara kerja, ada juga kes yang melibatkan hal-hal peribadi. Sebenarnya terdapat pelbagai cara untuk berbincang dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau perkara yang dianggap isu. Apa yang paling penting adalah komunikasi yang baik diiringi dengan cara yang bersopan dan berhemah. Ini kerana bukanlah sesuatu yang asing apabila terdapat isu-isu tengking-menengking, perli memerli atau memaki hamun yang berlaku di dalam sesebuah organisasi.

Apa yang berlaku di antara pekerja senior yang rata-rata bertujuan untuk memperbaiki kelemahan junior yang terdiri daripada pelatih atau pekerja baru. Mungkin ia digelar ‘buli’ kerana keadaan ini berlaku dalam kalangan golongan dewasa yang mana ia melibatkan maruah diri yang terasa diperkecil atau dipersenda oleh orang lain terutamanya apabila berlaku di depan rakan sekerja yang lain. Dalam kalangan doktor seperti yang diperkatakan, mungkin keadaannya sedikit berbeza kerana kesalahan yang kecil boleh merisikokan nyawa pesakit dan perkara sebegini memang perlu dipandang serius. Dalam sebuah syarikat perniagaan pula, kesalahan yang kecil mungkin boleh mengakibatkan kerugian yang banyak. Begitu juga dengan agensi-agensi kerajaan atau swasta yang mungkin boleh mengakibatkan kelancaran tugas atau majlis terganggu. Disebabkan itu, berbalik kepada lumrah manusia yang tidak lari daripada membuat kesilapan. Malah, adakalanya pekerja senior juga boleh melakukan kesilapan.

Di sinilah peranan komunikasi yang baik dan berhemah boleh berlaku dalam sama-sama memperbetulkan kesilapan demi kebaikan semua pihak. Malah ia juga menunjukkan tahap profesional seseorang individu apabila boleh mengawal situasi dengan baik. Teguran boleh dilakukan secara baik dengan menggunakan perkataan yang baik. Ia juga boleh dilakukan dengan intonasi yang tegas tetapi masih berhemah. Dalam agama Islam dan agama lain sekalipun, sifat amarah adalah sesuatu yang perlu dikawal dan tidak dilayan dengan emosi apabila melakukan tindakan. Sebaiknya, sebagai seorang manusia yang berakal dan beragama, seorang individu seharusnya bertenang dan berfikir sebelum bertindak dan barulah perkataan dan cara yang digunakan akan menjadi lebih baik dan bersopan.Teguran juga tidak perlu berlaku dalam khalayak ramai kerana ia melibatkan aib dan maruah diri individu tersebut.

Malah, jika difikirkan kembali, ia bukan sahaja mengaibkan individu yang ditegur, tetapi juga yang menegur kerana semua dapat menyaksikan sifat sebenar dalam diri mereka terutamanya cara mereka mengawalperasaan marah. Ini sama sekali menunjukkan tiada sikap profesional di situ. Maka dalam hal ini, kedua-dua pihak tidak akan mendapat apa-apa sekalipun tetapi hanyalah aib semata-mata. Kita boleh mengambil contoh Rasulullah SAW dalam mengawal amarah. Menurut HR Bukhari, seorang lelaki berkata kepada Nabi, “Berilah aku wasiat?” Baginda bersabda, “Janganlah kamu marah.” Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda, ‘jika salah seorang dari kalian marah dan ia dalam keadaan berdiri, hendaklah ia duduk. Jika rasa marahnya tidak hilang, hendaklah ia berbaring’ (HR Abu Daud).

Ini menunjukkan betapa mengawal perasaan marah itu sangat penting dalam kehidupan manusia kerana ia boleh membawa kepada putusnya silaturrahim, perceraian dan mewujudkan dendam dalam diri yang hanya merugikan diri sendiri. Disebabkan itu, komunikasi yang baik dan berhemah di samping bijak mengawal perasaan marah adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Malah, ia bukan sahaja mewujudkan rasa hormat dalam kalangan pekerja, tetapi juga suasana yang harmoni di tempat kerja. Ia juga dapat mengurangkan atau menghindarkan daripada tekanan atau stress dan membina situasi yang sihat dalam hubungan sesama pekerja yang akan melancarkan lagi gerak kerja dengan lebih profesional dan efisien.

Dr Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Program Komunikasi
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nilai, Negeri Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast