KUALA LUMPUR – Pembentukan Muafakat Nasional (MN) pada awal dahulu tidak lain adalah untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH).

Biarpun gabungan itu tidak didaftarkan secara rasmi, namun menerusi piagam yang ditanda tangani bersama, ia menunjukkan kebersamaan Pas dan juga UMNO.

Namun, MN tidak mampu diteruskan oleh dua parti gergasi Melayu ini apabila Pas mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan politik bersama Perikatan Nasional (PN) iaitu gabungan di antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) serta beberapa dokongan daripada beberapa parti lain.

PN telah didaftarkan secara rasmi dan gabungan ini terus merancakkan perjuangan mereka dengan bertanding dengan logo PN pada beberapa siri pilihan raya negeri antaranya Melaka dan Johor.

Mutakhir ini, timbul kembali gesaan kepimpinan Pas untuk parti itu berunding semula dengan UMNO bagi mengembalikan semangat MN apatah lagi menjelangnya Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU15).

Rata-rata kepimpinan UMNO pula bagaikan berpatah arang dengan Pas dan mahu bergerak secara solo bersama Barisan Nasional (BN) selagi Pas tidak mahu meninggalkan Bersatu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, sewajarnya pelbagai pandangan untuk MN perlu diraikan oleh kepimpinan kedua-dua, baik parti Pas mahupun UMNO.

“Mereka perlu duduk secara serius kerana sehingga ke hari ini tidak ada kenyataan muktamad bahawa MN itu telah berakhir.

“Boleh saya simpulkan di sini, MN itu masih hidup tetapi ‘nyawa-nyawa ikan’ yang belum diselamatkan oleh kedua-dua parti,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk ‘Pas Bergelut Antara PN Atau MN bersama seorang lagi penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Program yang berlangsung selama satu jam itu membawa pengisian bagaimana Pas dan UMNO boleh Kembali duduk semeja bagi kebaikan parti pada PRU15 akan datang.

“Masih ada harapan bagaimana untuk menghidupkan semula MN agar pada PRU15 yang pada bila-bila masa sahaja dapat memberi kelebihan kepada kedua-dua parti ini secara khususnya,” ujarnya.

Pada masa sama Mohammad Tawfiq berkata, platform MN perlu diperkasakan semula bagi mendapatkan kerusi dominan di Parlimen untuk memudahkan tugasan dakwah dan seterusnya mampu memperkembangkan lagi Islam di negara ini.

“Buat masa ini MN berada di penghujung jalan tetapi destinasinya itu masih jauh.

“Penting unuk Pas dan UMNO merasionalkan kepimpinan daripada kedua-dua parti ini supaya kembali faham kepentingan kerjasama politik ini dengan beberapa siri pilihan raya sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata BN yang mula mencipta momentum terbaik menerusi kejayaan dalam pilihan raya kecil dan negeri menunjukkan Pas perlu ada bersama-sama UMNO-BN. -MalaysiaGazette