Sulu Royal Army evade Sabah attack Southern Philippines militia #ReopeningSafely interstate travel Reopening Safely
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan akan membina sebanyak 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) dalam tempoh tujuh tahun mulai tahun depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, projek itu akan dibina menerusi lima fasa selaras dengan Blueprint Perumahan 3.0 yang diperkenalkan sejak 2017.

Kata beliau, Blueprint Perumahan 3.0 adalah pelan infrastruktur perumahan yang komprehensif bagi menambahbaik agenda perumahan demi kepentingan kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran, ahli keluarga dan warga awam kementerian.

“Blueprint Perumahan 3.0 ini dibina dengan bersandarkan tiga objektif utama iaitu pembinaan, penyelenggaraan dan pemilikan.

“Ia merupakan kesinambungan daripada Blueprint Perumahan 1.0 yang saya sendiri cadangkan dan diperkenalkan pada tahun 2017 serta Blueprint Perumahan 2.0 yang diperkenalkan pada tahun 2019.

“Demi memastikan lebih ramai anggota, veteran ATM dan ahli keluarga serta warga awam MINDEF dapat mendiami kediaman yang selesa dan kondusif, terdapat empat program utama akan dilaksanakan di bawah Blueprint Perumahan 3.0 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pra pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

Menurut Hishammuddin, empat program utama itu melibatkan pembangunan RKMAT, penyelenggaraan dan naik taraf, Program Pemilikan Rumah Mampu Milik dan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM.

Katanya, setiap rumah akan mengikut spesifikasi terkini dan turut dilengkapi perabot serta keperluan asas lain seperti taman permainan, surau, dewan serbaguna dan gelanggang sukan.

Malah, lebih banyak RKMAT sedia ada akan melalui proses naik taraf daripada dua unit kepada satu unit, selain memastikan setiap anggota di bawah program pemilikan rumah mampu milik menerima inisatif Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

“Ini termasuk 3,500 unit di Kem Sungai Besi yang sedang dibina dan bakal siap pada tahun 2025, sebanyak 974 unit yang dijangka mula dibina di Kem Wardieburn pada 2023 hingga 2025 dan 6,400 unit di Kem Genting Klang bermula 2028 hingga 2034.

“Rumah SASaR ini ditawarkan khusus kepada anggota ATM serta veteran dan akan dijual kepada mereka pada harga mampu milik.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mewujudkan kuota khas untuk warga ATM dan veteran bagi setiap projek pembangunan rumah mampu milik yang dibangunkan di seluruh negara,” katanya.

Mengenai program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, Hishammuddin berkata, untuk tahun ini sahaja, di bawah blueprint itu, sebanyak 30 unit rumah baharu akan dibina khusus untuk mereka yang terpilih, manakala 70 unit lagi akan dinaiktaraf.

Selain rumah baharu yang bakal dibina dan rumah yang bakal dinaik taraf itu, beliau turut memaklumkan pelbagai projek khususnya RKMAT telah disiapkan dalam tempoh sembilan bulan terakhir ini.

Projek itu ialah 2,000 unit RKMAT di Taman LTAT Bukit Jalil, 204 unit RKMAT di Kem Pakit Sarawak, 20 unit RKMAT di Kem Oran, Perlis dan 305 unit RKMAT di Kem Segamat, Johor.

Pada masa sama, sebanyak 434 unit RKMAT telah siap dinaiktaraf daripada dua unit menjadi satu unit iaitu daripada 434 kepada 217 unit.

“Ia termasuk di Kem Penrissen, Sarawak; Kem Rascom, Sibu; Pangkalan Udara Kuantan; Kem Batu 10 Kuantan, MSS Ipoh; Pangkalan Udara Butterworth; dan Pangkalan Udara Labuan,” katanya.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut menyempurnakan simbolik penyerahan kepada bakal pemilik rumah SASaR di Kem Sungai Besi yang diberi nama Residensi Sateria.

Katanya, sebanyak 3,500 unit rumah SASaR Kem Sungai Besi itu sedang dibina dan dijangka siap tahun 2025 serta dijual pada harga separuh dari pasaran.

Ia merangkumi lima blok pangsapuri yang terdiri daripada tiga jenis unit iaitu Jenis A – 1,800 unit berkeluasan 1,000 kaki persegi berharga RM150,000; Jenis B – 1,200 unit berkeluasan 1,100 kaki persegi berharga RM199,000; Jenis C – 500 unit berkeluasan 1,200 kaki persegi berharga RM250,000.

“Apabila siap, ia bakal dimiliki dan didiami oleh 2,100 anggota ATM yang melibatkan 1,260 darat, 420 laut, 420 udara, 900 veteran dan 500 kakitangan awam MINDEF. – MalaysiaGazette