APMM tahan empat nelayan yang didapati langgar syarat sah lesen di Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot bersama empat nelayan yang didapati melanggar syarat sah lesen di kedudukan 5.6 batu nautika tenggara Pulau Kendi di sini, semalam.

Mereka ditahan ketika pasukan berkenaan melakukan rondaan menerusi Ops Pertiwi/Op Benteng pada jam 10.40 malam.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, terdahulu pihaknya mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan gelap disyaki sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

Mereka didapati beroperasi dalam keadaan gelap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kata beliau, pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan berkenaan adalah daripada kelas B1 dan berpangkalan di Teluk Bahang.

“Ia dikendalikan tiga kru warga tempatan berusia 45 hingga 53 tahun termasuk tekong di atas bot berkenaan.

“Manakala seorang lagi ialah warga Thailand berusia 60 tahun dan memiliki dokumen permaustatin tetap, ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abd Razak, pemeriksaan mendapati, bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Nelayan, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan campur yang dianggar seberat 100 kilogram itu disita sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kita tidak akan berkompromi kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara,” kata beliau.

Orang awam boleh melaporkan sebarang penemuan, kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut menerusi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04 262 6146. – MalaysiaGazette