PDRM
Gambar hiasan

GOMBAK – Misteri penemuan sebuah kereta Volkswagen dengan kesan darah dalam keadaan tidak berkunci di kawasan Jalan Besar Pekan Kundang, Rawang di sini akhirnya terjawab.

Ia berlaku apabila seorang lelaki mendakwa dia telah diserang teruk sehingga berlumuran darah oleh sekumpulan lelaki.

Kejadian difahamkan berlaku pada awal pagi hari ini dan difahamkan anggota unit kereta peronda polis telah menemui kereta jenis Volkswagen Vento warna putih dengan kesan darah itu semasa terlibat dalam rondaan pencegahan jenayah pada pukul 2.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah menerima panggilan tentang kejadian itu apabila mangsa sedang mendapatkan rawatan di klinik sekitar Bandar Country Homes di sini awal pagi tadi.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan mengalami kecederaan pada bahagian muka, bahu kanan dan tengkuk dalam kejadian itu.

“Mangsa dipercayai telah diserang teruk oleh beberapa lelaki tidak dikenalinya dan lokasi sebenar kejadian masih sedang disiasat oleh polis,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Zainal Mohamed, mangsa kejadian kini berada dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Menurutnya, pasukan Unit Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah bergegas ke lokasi kereta mangsa ditinggalkan untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi segera Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Asraff Anuar di talian 017-9616562 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 untuk membantu polis mengambil tindakan lanjut. – MalaysiaGazette