Penduduk melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan mereka yang terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat berterusan lebih tiga jam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Jawa Kerling, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor menafikan terdapat kelewatan dalam menghulurkan bantuan kepada penduduk Kampung Jawa Kerling, Kuala Kubu Baru, Selangor yang dilanda banjir baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri berkata, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) telah membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama SRA Syed Mashur pada petang 16 Mei lalu, pada hari sama berlakunya banjir.

Jelas Hanafe, sebanyak enam buah keluarga membabitkan 24 orang mendaftarkan diri untuk menginap di PPS dan menerima bekalan bantuan seperti toto, selimut, tikar, kain batik, bantal, tuala, sejadah, dan telekung.

Pemindahan sementara ke PPS dibuat oleh PKMD melalui Tok Penghulu Mukim Kuala Kubu Bharu dan pihak Majlis Perwakilan Ketua Kampung (MPKK) serta agensi-agensi lain turut  berada di tempat kejadian, jelas beliau.

Namun katanya, gesaan berpindah ke PPS hanya dipersetujui oleh beberapa keluarga sahaja.

“Sebahagian mereka memilih untuk menginap di rumah saudara mara, jiran, dan sebahagian mereka memilih untuk berada di rumah masing-masing kerana banjir mulai surut” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 17 Mei lalu, MalaysiaGazette melaporkan terdapat penduduk Kampung Jawa Kerling mendakwa tiada bantuan yang sampai kepada mangsa banjir dan rata-rata mereka menzahirkan rasa kecewa dengan langkah kerajaan menangani bencana itu.

Wartawan MalaysiaGazette yang berkesempatan menemui beberapa penduduk kampung tersebut melahirkan rasa kecewa dan amat berharapkan bantuan disalurkan kepada mereka untuk meringankan beban yang ditanggung.

Terdapat penduduk kampung itu mendakwa mereka tidak menerima bantuan makanan dan minuman.

Bagaimanapun, menurut Mohamad Hanafe, Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Selangor melalui petugas agensi telah mengagihkan bekalan makan malam kepada penduduk di PPS dan mangsa banjir yang berada di rumah masing-masing yang enggan berpindah,

Tambah beliau, bantuan makanan dan minuman telah diagihkan pada malam 16 Mei melalui sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong dan Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad.

Sementara itu, Pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menggerakkan 80 orang sukarelawan ke Kampung Jawa Kerling untuk operasi pembersihan.

“Kami turut menggerakkan pasukan pembersihan daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi membantu melakukan kerja-kerja pembersihan sampah”

“Operasi itu melibatkan empat tong roro dengan 12 tan sampah berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian setakat jam 1 petang 17 Mei” jelasnya yang memberitahu operasi ini diperluaskan ke lokasi yang terjejas secara berperingkat-peringkat.

Dalam pada itu, menerusi laporan MalaysiaGazette yang mendakwa siren amaran bencana gagal berfungsi, Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati Remote Terminal Unit (RTU) mengalami kerosakan, dan kini kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan. – MalaysiaGazette.

Macam tiada kerajaan, semuanya kena selesaikan sendiri – Mangsa banjir Kampung Jawa Kerling

Kam