Vaksin penggalak
Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak Covid-19 kepada penerima yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Lembah Klang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 15 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga bawah 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19, sekurang-kurangnya dalam tempoh lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

Manakala remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini KKM telah menyarankan kepada semua bakal jemaah haji berusia 60 tahun dan ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk, untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menurut Khairy, langkah ini bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan jemaah semasa berada di Tanah Suci dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji dari seluruh dunia.

Lagipun, katanya, Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas, selain turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terutamanya
di tempat-tempat sesak dan juga di dalam pengangkutan awam di negara itu.

Dalam pada itu, memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, katanya, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum atau selepas vaksin lain diberikan.

Jemaah haji yang terlibat boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus tanpa janji temu (walk-in) di PPV yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan (seperti bukti surat tawaran menunaikan haji). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast