Onn Hafiz Ghazi mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan.

JOHOR BAHRU – Banyak isu pengguna yang perlu diselesaikan dengan segera, selain ada perkara-perkara tidak masuk akal yang mesti mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan disiasat dengan lebih terperinci.

Menteri Besar (MB) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, satu laporan penuh bagi semua isu dan jalan penyelesaiannya akan dilaporkan semula kepadanya dalam tempoh dua minggu.

”Terima Kasih Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, Pengarah Kastam Negeri, Sazali Mohamad serta para pegawai kanan Kastam Johor, Dairin Unsir dan Vimala Ramalinggam.

”Terima kasih saya ucapkan kepada semua terlibat seperti Jabatan Imigresen, Pengarah JPJ Johor,  Azmil Zainal Adnan serta pegawai-pegawainya, Ketua Wilayah APAD Wilayah Selatan, Nor Afiza Abd Aziz serta pegawai-pegawai daripada APAD serta wakil Balai Polis BSI atas kerjasama.

“Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Semalam Onn Hafiz membuat kejutan apabila bertindak sebagai orang awam untuk melihat dengan sendiri proses memasuki Singapura dari bandar raya ini.

Beliau memasuki Singapura menggunakan bas awam.

Onn Hafiz memulakan perjalanannya dengan menaiki bas dari Terminal Bas JB Sentral serta menggunakan kaedah pengembara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor).

Beliau juga memandu sendirian di sekitar Bandar Raya Johor Bahru untuk melihat proses pembangunan yang dilaksanakan selain meninjau isu semasa berkaitan rakyat.

Dalam perkongsian di Facebook semalam, Onn Hafiz berkata, beliau akan berjumpa dengan Pengarah Imigresen Johor, Kastam, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan SPRM.

”Masih banyak ruang yang boleh diperbaiki. Saya dan agensi berkenaan akan berusaha untuk memperbaikinya dengan kadar segera, demi keselamatan dan keselesaan jutaan pengguna yang mengunjunginya setiap tahun. Semoga dipermudahkan segala urusan,” ujarnya. – MalaysiaGazette