Ayob Khan beramah mesra kira-kira 33 anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia di Majlis sambutan Aidilfitri JSJN Bukit Aman di Dewan Pengaman, Pulapol tengahari tadi.

KUALA LUMPUR – Identiti dalang dan ketua-ketua sindiket dadah kini dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau yang memberi amaran itu berkata, PDRM kini memerangi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah habis-habisan.

Menurutnya, usaha memburu dan menangkap ketua-ketua sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini sedang dipertingkat dan diperluaskan.

Beliau memberitahu, dua hari lepas polis berjaya melakukan rampasan dadah lebih 21 kilogram di KLIA dan semalam pihak narkotik Singapura memaklumkan menangkap warga Malaysia membawa masuk dadah bernilai lebih RM1 juta.

“Aktiviti ini tidak akan habis di situ sahaja kerana sindiket ini akan terus mencari ruang dan jalan mempergiatkan aktiviti terlarang ini,” katanya ketika di Majlis sambutan Aidilfitri JSJN Bukit Aman.

Ayob Khan Mydin Pitchay

Ayob turut menyahut seruan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyarankan agar polis meningkatkan momentum untuk menangkap, menyekat pengedaran dan penyeludupan dadah di negara ini.

“Fokus dan pendekatan JSJN sejak dulu sampai sekarang memang memerangi dadah dan sindiketnya habis-habisan.

“Apabila saya ambil alih jabatan narkotik dari bulan satu (Januari 2022) sampai sekarang, saya memberi tumpuan kepada tangkapan tokan-tokan dadah.

“Untuk makluman sepanjang empat lima bulan ini, saya menjalanlan Op Tapis dan kita tangkap lebih 1,500 hingga 2,000 tokan dadah dan diambil tindakan undang-undang.

“Kita akan teruskan momentum ini dan fokuskan kepada memburu dan menangkap ketua ketua sindiket dadah kerana selagi ketua-ketua sindiket ini tak ditangkap, isu dadah di negara ini tidak akan selesai,” katanya.

Ditanya mengenai taktik baharu sindiket dadah yang mengedar dadah cecair vape, beliau menegaskan, pengedar dadah sentiasa mencari kaedah dan modus operandi baharu untuk mengelirukan pihak keselamatan dan awam.

“Secara kasarnya, memang vape ok. apabila ia dicampur dengan dadah, termasuklah kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan vape, kalau ada unsur dadah kita akan ambil tindakan di bawah Akta Dadah Merbahaya 1952,” tegas beliau. – MalaysiaGazette