Peniaga, Sofian Mohd Deri menunjukkan ayam jualannya yang berkurangan tidak seperti kebiasaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Bekalan ayam yang mencukupi penting untuk peniaga seperti Sofian kerana ayam merupakan juadah utama dalam nasi ayam yang dijualnya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ketiadaan bekalan ayam selama dua hari di ibu negara  bukan sahaja menjejaskan peniaga di pasar tetapi rantaian perniagaan lain.

Ini kerana, gangguan bekalan makanan mentah itu turut menyebabkan peniaga restoran terpaksa tutup kedai sehingga bekalan ayam berada dalam pasaran.

Seorang peniaga restoran di Kampung Baru, Sofian Mohd Deri, 60, berkata, dia terpaksa menutup kedainya selama tiga hari setelah pembekal memaklumkan tiada bekalan ayam buat masa ini.

“Pengeluar beritahu dalam lima hari juga tiada stok ayam. Itu menjadi masalah untuk saya dapatkan ayam beberapa hari ini. Nampak gaya jika berlarutan kita terpaksa tutup kedai dulu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Sofian Mohd Deri

Sofian mendakwa kekurangan bekalan itu telah menjejaskan pendapatannya selepas hanya mendapat 50 peratus daripada ayam yang ditempah.

“Hari ini saya minta 10 ekor daripada pembekal, tapi cuma dapat lima ekor sedangkan satu hari saya memerlukan dalam 15 ekor,.

“Kalau macam ni susah nak bayar sewa dan memang secara keseluruhannya boleh menjejaskan keuntungan kedai saya,” ujarnya kepada MalaysiaGazette

Nadhira Norizam

Seorang lagi peniaga, Nadhira Norizam, 28, berkata, dia tidak terjejas untuk bekalan ayam disebabkan pengeluar yang selalu membekalkannya tidak tidak terkesan isu bekalan aya,

“Setakat ini kedai saya tidak terputus bekalan ayam lagi sebab kita masih berjaya dapatkan stok daripada satu pengeluar.

”Setakat hari ini sampai esok masih mencukupi stok bekalan ayam,” katanya.

Namun menurut Nadhirah berkata, ramai kenalannya yang mengusahakan kedai makan ada mengadu terputus bekalan ayam untuk beberapa hari.

Muhammad Shafiq Shafrizal

Peniaga sate ayam, Muhammad Shafiq Shafrizal, 22, mengakui perniagaan warisan bapanya itu setakat ini tidak terjejas dalam isu gangguan bekalan ayam.

“Ayah saya orang lama, dia selalu dapat ayam lebih mudah sebab banyak kenalan tapi kalau terputus sekali pun tak jadi masalah besar untuk kami, kami masih boleh jual sate daging,” ulasnya.

Gangguan bekalan ayam ini tercetus selepas kebanyakan ladang mengalami masalah tumbesaran ayam disebabkan kekurangan pekerja dan harga dedak yang melonjak.

Rata-rata ternakan ayam seberat 1.2 hingga 1.3 kilogram sedangkan saiz sesuai untuk dipasarkan antara 1.5 hingga 1.8 kilogram.

Dengan mengambil masa dua hari, seekor ayat seberat itu mampu ditambah beratnya antara 100 hingga 150 gram.

Bagaimanapun, ayam yang mencapai saiz 1.5 hingga 1.8 kilogram dapat ditingkatkan beratnya antara 200 hingga 300 gram dalam tempoh dua hari. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ganti nasi ayam dengan nasi ganja berulam daun ganja promosi teknologi pengubatan sebarang penyakit bisa laris di negara maju nggak butuh hisap ganja bikin kanser paru-paru pula dong.

Comments are closed.