BAGAN SERAI – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berhasrat untuk melanjutkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, KKM telah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.
Sekiranya selepas ini ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi anak mereka, katanya, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir di sini hari ini.
Dr Noor Azmi berkata, jumlah harian kanak-kanak yang mengambil vaksin menunjukkan peningkatan selepas Aidilfitri mulai 17 Mei lepas iaitu 1981 orang pada 16 Mei, 17 Mei (2798), 18 Mei (2806), 19 Mei (3747) dan semalam ialah sebanyak 7,137 orang.