Bakal jemaah haji di Selangor melakukan latihan ibadah di Shah Alam hari ini. Foto FB Lembaga Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Kursus Perdana Haji Musim 1442H/2022M secara berperingkat di seluruh negara bermula 15 Mei sehingga 29 Mei 2022.

Kursus Perdana Haji merupakan kursus terakhir bagi bakal jemaah haji sebagai platform ulang kaji dan pelengkap kepada kursus-kursus haji yang dikendalikan oleh TH di seluruh Malaysia.

Seramai 2,700 jemaah dari Selangor menyertai Kursus Perdana Haji 2022 yang dianjurkan oleh TH dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata objektif utama TH menganjurkan Kursus Perdana Haji ini adalah bagi melahirkan jemaah haji yang berpengetahuan dan berkeyakinan ketika melaksanakan ibadat haji kelak. Pendedahan terakhir terutama amali mengenai ibadat haji yang bakal ditunaikan mereka kelak.

”Bakal-bakal haji akan melalui praktikal seperti bertawaf, sa’ie, melontar jamrah dan ibadat haji lain secara berkumpulan bagi memberi gambaran sebenar di Tanah Suci Melalui kursus ini, kita tunjukkan mereka suasana sebenar sepanjang ibadah itu dilakukan kelak

”TH menyarankan agar semua bakal haji terpilih tahun ini untuk hadir ke Kursus Perdana yang akan diadakan di negeri masing-masing. Ambil peluang ini untuk mengulang kaji dan jika ada sebarang persoalan, bertanya terus kepada pegawai TH dan Pembimbing Ibadat Haji yang sentiasa bersama bakal haji semasa kursus berlangsung,” kata Amrin.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyeru semua bakal haji berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Elakkan daripada melakukan perkara yang boleh menimbulkan kekecohan, supaya ibadat haji yang bakal dilaksanakan berjalan dengan lancar.

”Yang paling penting, para bakal haji perlu menjaga kesihatan bermula sekarang. Lakukan senaman ringan dan minum air secukupnya agar kekal sihat sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Dalam situasi wabak yang masih belum pulih, kebersihan diri perlu diutamakan dan jika tidak sihat, segeralah ke klinik-klinik Tabung Haji untuk mendapatkan rawatan bagi mengelak ia berlarutan,” ujarnya.

Seramai 14,306 bakal haji Malaysia menunaikan haji pada tahun ini.

Kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan hanya satu juta jemaah dibenarkan menunaikan rukun Islam ke lima pada tahun ini dengan syarat utama bakal haji mesti berumur di bawah 65 tahun, telah melengkapkan vaksin Covid-19, sihat
tubuh badan, tiada penyakit kronik dan menyerahkan keputusan negatif ujian PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas. – MalaysiaGazette