Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa beliau tidak berniat menghasut hingga boleh mencetuskan kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam di Malaysia.

Sebaliknya, Kit Siang berkata, beliau hanya memberi amaran terhadap bahaya sekiranya membiarkan suasana politik dan sosio-ekonomi dalam negara terus merosot seperti yang berlaku di Sri Lanka dalam tempoh setengah abad yang lepas sehingga menjadi sebuah negara gagal.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kenyataannya mengenai rumah perdana menteri dan menteri di Malaysia mungkin akan dibakar sebelum negara menyambut ulang tahun yang ke-100 pada 2057 atau 2063.

Tambah Kit Siang, beliau telah menjangka akan ada ahli politik yang akan mengambil kesempatan terhadap apa yang beliau katakan itu.

“Saya telah jangka yang ahli politik yang terdesak dan juga oportunis akan mengambil kesempatan ini, melalui pakar propaganda dan tentera siber mereka, untuk memusing dan memutarbelitkan makna dan tujuan asal kenyataan saya sebagai kononnya satu hasutan.

“Apa yang tidak jangka serang bekas perdana menteri sendiri untuk berbuat demikian,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung ciapan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu yang didakwa mengandungi kenyataan boleh menggugat ketenteraman awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan berkata, imej tangkap layar ciapan tersebut tular di aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Kit Siang dalam artikel yang disiarkan dalam blognya menimbulkan persoalan sama ada rumah perdana menteri dan menteri-menteri di Malaysia akan dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah.

Beliau merujuk kepada kejadian yang berlaku di Sri Lanka apabila penunjuk perasaan yang marah dengan keadaan ekonomi di negara itu bertindak membakar rumah perdana menteri dan menteri-menteri.

“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?

“Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai “permata” yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?” tanya Kit Siang.- MalaysiaGazette