Ayam hidup disimpan sebelum disembelih dan dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan kekurangan bekalan ayam di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 06 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kekurangan bekalan ayam di pasaran pada masa ini mungkin dapat dielakkan sekiranya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil serius dilema penternak-penternak ayam tempatan.

Malangnya segala isu permasalahan yang dikemukakan oleh industri kepada kedua-dua kementerian ini bak angin lalu.

Sedangkan industri telah memberi amaran jika MAFI dan KPDNHEP terus ‘tidur’ maka jangan terkejut jika masalah ini terus meruncing seperti yang berlaku pada hari ini.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, sumber industri mengakui penutupan kilang ternakan ayam di Merlimau, Jasin selama dua hari ini adalah satu simbolik kepada permasalahan yang dihadapi oleh penternak.

“Memang betul ayam-ayam di ladang ternakan itu mengalami masalah tumbesaran tetapi isu itu kecil sahaja berbanding permasalahan sebenar yang berlaku.

“Di sebalik isu tumbesaran ayam, adakah MAFI, KPDNHEP dan Kementerian Sumber Manusia tahu bahawa industri ternakan ayam berdepan dengan masalah kekurangan pekerja asing walaupun permohonan untuk mendapatkan pekerja warga luar sudah dibuka,” katanya.

Sumber berkata, kebanyakan ladang ayam di negara ini tidak memiliki Sijil Menduduki (CF) dan apabila Kementerian Sumber Manusia mengenakan syarat penyediaan tempat tinggal sempurna kepada pekerja asing menyebabkan industri penternakan tidak layak untuk membuat permohonan pengambilan pekerja asing.

Jelasnya, dalam situasi modal kerja pengusaha ayam yang semakin tertekan ekoran peningkatan kos, syarat-syarat ketat Kementerian Sumber Manusia ini sukar untuk dipenuhi.

Selain itu, isu gaji minimum turut ‘menghempap’ kepala pengusaha-pengusaha ternakan ayam kerana mereka perlu menambah RM300 lagi untuk menggenapkan RM1,500 yang ditetapkan oleh kerajaan.

Gaji RM1,500 itu tidak termasuk kerja lebih masa yang perlu dibayar kepada pekerja-pekerja asing memandangkan pekerja tempatan enggan bekerja pada hujung minggu.

“Jadi, sedarkah MAFI dan KPDNHEP beban yang cukup besar perlu ditanggung oleh penternak-penternak ayam tempatan dan pada masa sama kedua-dua kementerian masih gagal menangani isu subsidi.

“MAFI sebelum ini mengumumkan, harga siling kepada penternak bagi sekilogram ayam adalah RM6.90 manakala KPDNHEP pula RM6.60. Persoalan industri adalah apa jadi dengan jurang 30 sen lagi.

“Isu 30 sen itu sehingga hari ini pun masih tidak dapat diputuskan secara muktamad oleh kedua-dua kementerian. Sebab itulah pada saya isu tumbesaran ayam di kilang Jasin itu adalah simbolik kepada masalah lebih besar dan sukar dihadapi oleh penternak ayam negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, MalaysiaGazette difahamkan penutupan kilang ayam di Jasin bukan yang pertama kerana ada dua atau tiga lagi kilang di Pulau Pinang dan Perak telah bertindak lebih awal minggu lalu cuma ia tidak diuar-uarkan.

Malah, sumber berkata, tidak mustahil tindakan sama juga akan dilakukan oleh penternak lain kerana industri ini sedang berdepan dengan krisis kos yang sangat tinggi.

Katanya, kebanyakan syarikat ternakan ayam bersaiz sederhana mengeluarkan modal kerja sebanyak RM100,000 pada tahun 2020 untuk menternak 10,000 ekor ayam.

Tetapi sepanjang tempoh 2021 hingga 2022 harga dedak telah meningkat sebanyak 50 peratus.

“Jadikan pada pandangan anda adakah modal RM100,000 yang dikeluarkan sama pada tahun 2022 mampu menghasilkan 100,000 ekor ayam lagi?,” soalnya kepada pengguna.

Lebih menyedihkan apabila permohonan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia supaya kerajaan memberikan pinjaman mudah sebanyak RM250 juta kepada peserta industri tetapi sehingga saat ini masih belum ada jawapan.

“Bukan penternak minta geran, mereka minta pinjaman pun sukar hendak bagi. Dan, paling kecewa apabila MAFI memaklumkan jika ada pinjaman, setiap penternak hanya dibenarkan meminjam RM250,000 sahaja.

“Kalau syarikat besar yang modalnya berjuta-juta, apa yang boleh dibuat dengan RM250,000? Inilah yang membuatkan penternak kecewa apabila isu-isu industri ini tidak dinilai secara serius.

“Lebih mencabar lagi, para penternak pula dituduh oleh pelbagai pihak sebagai kartel. Cubalah hadam isu ini baik-baik dan nilai sendiri siapa sebenarnya kartel – kerajaan atau penternak ayam,” tambahnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Lepas ini di Malaysia tiadalah rakyat yang pandai bela ayam kerana AP ayam sudah dihapuskan, buat apa bela kalau boleh import seperti Singapura kan. Lepas ni rakyat semua jadi bodoh, nak ternak dan bertani pun tidak reti. Sepatutnya kerajaan jaga semua para penternak dan petani supaya negara tidak mengalami ketandusan kepakaran dalam bidang tersebut. Sekiranya mengalami masalah dedak atau baja kerajaan kena hasilkan dedak atau baja sendiri, begitu juga pekerja, kerajaan kena galakkan pemodenan atau automasi dalam penternakan dan juga pertanian.

  2. Menteri Pertanian Dato, Ronald Kiandi & Menteri KPDNN, Dato’ Alexander Nanta Lingi…sorang dari Sabah & sorang dari Sarawak..dua2 tak guna…makam gaji buta

Comments are closed.