Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

KUALA LUMPUR – Bil subsidi untuk petrol sahaja dijangka melebihi RM30 bilion menjelang hujung tahun, oleh itu kerajaan sedang mengkaji mekanisme subsidi yang lebih bersasar agar sumber kewangan negara tidak dibebankan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ini kerana dasar subsidi petrol dan bahan api terutamanya lebih memanfaatkan golongan T20.

Jelas beliau, sebahagian besar subsidi petrol berjumlah RM4 bilion setakat Mac 2022 sebenarnya dinikmati oleh golongan berada yang mempunyai lebih banyak kenderaan.

Hakikatnya, bagi setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen disalurkan kepada golongan T20.

Menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-95, beliau berkata, lebih RM31 bilion diperuntukkan khusus untuk subsidi, bantuan dan insentif menerusi Bajet 2022 bagi meminimumkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat yang melibatkan harga
barang dan perkhidmatan.

Semasa Bajet 2022 dirangka, kerajaan tidak dapat menjangka kenaikan harga komoditi dan makanan akan mendadak naik ekoran konflik Ukraine-Rusia dan gangguan kepada rantaian bekalan global.

Namun, untuk terus membantu rakyat, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada paras RM2.05 seliter walaupun kos sebenarnya melebihi RM4 seliter.

Kerajaan juga menanggung RM700 juta subsidi baharu ayam dan telur juga bagi tempoh Februari hingga Mei 2022.

Malah, untuk separuh tahun pertama 2022, kerajaan telah mengekalkan tarif elektrik untuk kesemua rumah kediaman, besar atau kecil, dengan kos subsidi melebihi RM700
juta.

”Kerajaan akan terus mengawal kenaikan harga demi membantu rakyat dan menyokong momentum pemulihan ekonomi.

”Dengan dasar subsidi ini, kadar inflasi Malaysia tahun ini diunjurkan di antara 2.2% hingga 3.2%. ‘Jika dibandingkan, kadar inflasi Malaysia amat rendah berbanding unjuran kadar inflasi IMF iaitu 5.7% bagi negara maju dan 8.7% bagi negara membangun untuk tahun 2022.

”Kadar inflasi Malaysia hanyalah 2.2% bagi bulan Mac 2022, berbanding negara-negara lain,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kadar inflasi rendah ini adalah hasil dari dasar subsidi. – MalaysiaGazette