Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama Noh Omar hadir ke Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, Kuala Selangor, pagi ini.

KUALA SELANGOR – UMNO bukan sahaja terbuka bahkan mengalu-alukan mana-mana Menteri Kabinet yang merupakan anak kelahiran negeri itu untuk kembali ke kawasan masing-masing untuk membantu rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, walaupun Menteri Kabinet itu tiada kawasan tertentu, namun parti itu tiada halangan jika pemimpin negara sedia membantu rakyat.

“Tengku Zafrul lain laa…beliau ini keturunan Raja Selangor, cicit kepada kerabat diraja Selangor, makam datuk dia pun ada di Kuala Selangor.

“Jadi dia ini anak Selangor, anak Kuala Selangor, kita mengalu-alukan anak Kuala Selangor, baliklah Kuala Selangor tolong.

“Saya tengok Tengku Zafrul ini walaupun dia ‘Tengku’ tapi beliau berjiwa rakyat dan sanggup turun (padang), you are humble man brother,” katanya berucap pada Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berucap pada Mesyuarat PIBG di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, Kuala Selangor, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

Beliau mengulas tindakan seorang menteri Kabinet yang turun menganjurkan program bersama rakyat di sekitar kawasan Kuala Selangor sejak beberapa minggu lalu.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Kuala Selangor mengeluarkan arahan kepada pemimpin parti di kawasan tersebut supaya tidak terlibat dengan program Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp berhubung surat daripada Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim yang memberi arahan kepada kepimpinan bahagian untuk tidak terlibat dengan program melibatkan Zafrul.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi boleh menarik nafas lega sekiranya lebih ramai lagi Menteri Kabinet sanggup turun padang UMNO membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bencana alam, awal tahun ini.

“Selangor ni dah laa saya seorang menteri, letih nak jaga, jadi kalau ada dua menteri okay laa kan, kita pun dapatlah nanti (peruntukan).

“Lepas ini saya nak beritahu Tengku Zafrul kena tolong sekolah ini, kalau tidak saya saja tolong sekolah, letih juga.

“Tengku Zafrul dia memang anak Selangor, dia pun tak ada kawasan, dia Senator, Alhamdulillah dia sanggup turun padang untuk membantu kita di Selangor ini,” katanya.

Katanya, kehadiran Menteri Kewangan itu di sekitar Kuala Selangor tidak bermaksud beliau cuba mencari tempat untuk menjadi calon UMNO bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Soalnya bukan nak jadi calon atau tidak, tak ada pun. Sekarang ini kita kena turun padang berjumpa rakyat dan cuba membantu meringankan beban mereka.

“Kita amat memahami keadaan yang rakyat tengah hadapi, lebih-lebih lagi di Selangor selepas Covid-19, PKP tak habis, banjir besar pula.

“Sekolah pula baru nak mula setelah beberapa tahun ditutup, tentulah memerlukan peruntukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette