Ismail Sabri Yaakob

KEPALA BATAS – Kerajaan meluluskan permohonan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan bayaran Insentif Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sebanyak RM30 bagi setiap operasi dan bayaran Insentif Penyelamat Di Air sebanyak RM30 bagi setiap operasi dengan maksimum RM600 sebulan.

Kata beliau, bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS) dan bayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu diberikan melibatkan kadar secara pro rata dengan maksimum RM150 sebulan.

“Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan saya telah mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar terlibat.

“Kita harap dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2020 di sini, hari ini.

Tambah beliau, kelulusan elaun itu akan memberi manfaat kepada 114 pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima ABPM.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid. – MalaysiaGazette