'Monkeypox', atau Cacar Monyet.

BBC – Israel, Switzerland negara terbaharu mengesahkan kes cacar monyet, menjadikan jumlah negara yang melaporkan wabak itu meningkat kepada 14.

Kedua-dua negara terbabit mengenal pasti seorang yang dijangkiti ‘Monkeypox’ baru-baru ini pergi mengembara, tetapi Israel berkata, ia sedang menyiasat kemungkinan lain.

Kini lebih 80 kes disahkan bagi menular di Eropah, Amerika Syarikat (AS), Kanada, dan Australia.

Memetik laporan BBC, ‘monkeypox’ kerap berlaku di kawasan terpencil seperti Afrika Tengah dan Barat, tetapi tidak cenderung untuk merebak dengan mudah antara manusia dan risiko kepada orang ramai masih berada pada tahap rendah.

Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS), penyakit itu kebiasaannya ringan dan kadar pemulihan hanya mengambil masa beberapa minggu.

Dalam masa sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan, 50 kes yang disyaki sedang disiasat tanpa menamakan negara yang terlibat, dan memberi amaran bahawa lebih banyak jangkitan akan disahkan.

Presiden AS, Joe Biden ketika menamatkan lawatan ke Korea Selatan berkata, jika wabak itu merebak dengan lebih meluas, ia akan menjadi sesuatu yang lebih teruk sambil menambah ia boleh menjadi kebimbangan orang ramai.

Jelas beliau, AS sedang bekerja keras dalam membuat tindakan dan mengenal pasti jenis vaksin yang mungkin diguna pakai.

Selepas wabak pertama kali dikenal pasti di UK, virus itu mula dikesan di seluruh Eropah, sejurus agensi kesihatan di Sepanyol, Portugal, Jerman, Belgium, Perancis, Belanda, Itali, dan Sweden mengesahkan kes itu di negara masing-masing.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) mengenal pasti 20 kes setakat ini di negara itu, dan Ketua Penasihat Perubatannya, Dr. Susan Hopkins memaklumkan Sunday Morning BBC, pihaknya mengesan lebih banyak kes setiap hari.

“Virus itu kini mula merebak dalam masyarakat – kes yang dikesan tidak mempunyai hubungan dengan sesiapa yang pernah melawat Afrika Barat, di mana penyakit itu di adalah endemik”

“Tetapi risiko kepada populasi umum kekal pada tahap rendah dengan setakat ini kebanyakkannya ditemui di beberapa kawasan bandar dan dalam kalangan lelaki gay atau biseksual,” jelas Dr. Hopkins.

Walaupun masih tiada vaksin khusus untuk cacar monyet, beberapa negara menggunakan vaksin cacar, yang mana kira-kira 85 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan itu kerana kedua-dua virus agak serupa. – BBC

(https://www.bbc.com/news/health-61540474)