KUALA LUMPUR – Lelaki memiliki ganja seberat 0.86 gram, antara yang ditahan dalam Op Bersepadu, Op Samseng Jalanan, Op HadLaju, OpMotosikal/ Pelbagai Kesalahan dan Op Mabuk yang diadakan pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan di Jalan Raja Laut, di sini, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Katanya, lelaki tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Terdahulu Sarifudin berkata, operasi bersepadu berkenaan diadakan bermula 20 hingga 22 Mei lalu.

Turut ditahan ketika serbuan yang dilakukan di sekitar ibu kota adalah 23 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 68 tahun kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Selain itu lelaki 36 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Tangkapan seorang lelaki berumur 33 tahun yang menunggang motosikal disyaki dicuri bersangkut dengan repot Rawang 8780/21 dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 AKK.

“Tangkapan terhadap lapan orang lelaki warganegara, yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, sebanyak 435 jumlah saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 13 buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JAS (Jabatan Alam Sekitar) serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yg ni Syed Saddiq tak nak back up kaaa? Kot2 mamat ni guna ganja utk perubatan kaaa…

Comments are closed.