Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong melihat kerja menyelenggara eskalator yang rosak ketika membuat lawatan ke Stesen LRT Ampang Park, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengesahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan terhadap kejadian perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang tergendala secara berulang pada Jumaat lalu.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa tersebut terdiri daripada agensi siasatan luar termasuk syarikat pengeluar tren itu bagi mengenalpasti masalah utama.

“Jawatankuasa ini turut mengundang perunding luar untuk melihat permasalahan ini dan mula kerja pada Selasa depan.

“Dalam tempoh dua minggu kita nak tahu apa masalahnya, ini mungkin indikasi kerana Pusat Kawalan Operasi (OCC) terima isyarat termasuk kita akan teruskan berhenti.

“Tren itu tidak akan diteruskan perjalanan kerana ini ada sesuatu yang kita kena ambil maklum,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Stesen LRT Ampang Park, di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu kira-kira 22,100 penumpang perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terjejas selama dua jam disebabkan tren terkandas berikutan kebocoran angkup (caliper) brek hidraulik.

Perkara sama pernah berlaku pada 10 Mei lalu.

Justeru itu, Prasarana telah mempelawa satu pasukan perunding luar bersama-sama syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) di China untuk mengenalpasti punca kejadian.

“Dari situ kita akan pastikan tindakan susulan diambil, ada juga kesulitan untuk mendapatkan alat ganti.

“Apa yang penting isu utama harus dikenalpasti dan apa yang menyebabkan berlakunya kebocoran brek hidraulik. Jadi kita kena beri tumpuan secara khusus untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan, kebocoran itu menyebabkan angkup brek tidak berfungsi ketika tren sedang beroperasi menjadikan tren tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

Proses penggantian dan baik pulih sistem brek sedang dijalankan secara progresif bermula Oktober 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 November depan. – MalaysiaGazette