Pendaki Solo Profesional, T. Ravichandran (tengah) bergambar ketika tiba di tanah air selepas berjaya menawan Gunung Everest kali ke-3 di Lapangan Antarabangsa (KLIA), Selangor. Foto MUHD NA'IM, 22 MEI 2022.

SEPANG – Jika sebelum ini T. Ravichandran berjaya menakluk puncak Everest seorang diri sebanyak dua kali pada 2006 dan 2007, lain pula untuk misi ketiga yang berjaya dilunaskannya pada 12 Mei lepas.

Ravichandran berkata, pendakian kali ini menyajikan pengalaman berbeza dan mencabar kepadanya kerana perlu membawa bersama dua pendaki lain berusia 40 dan 64 tahun ke puncak tertinggi dunia.

“Saya berjaya membawa mereka ke puncak pada usia 64 dan 40 tahun… jadi sudah semestinya saya sangat berpuas hati dan bangga dengan pencapaian kali ini.

“Untuk rekod, klien yang berusia 64 tahun adalah tertua yang berjaya menawan Gunung Everest berbanding dengan pendaki lain pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Berkongsi perjalanan ekspedisi itu, Ravichandran, 57, berkata cabaran kepadanya adalah memastikan fizikal dan mental kliennya stabil selain terpaksa mengharungi keadaan cuaca yang tidak menentu.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu turut memaklumkan mereka memulakan pendakian pada 2 Mei lepas menuju ke khemah satu, khemah dua serta khemah tiga dan berhenti untuk berehat pada 5 Mei sebelum meneruskan kembali ekspedisi dari 9 hingga 11 Mei sebelum tiba di puncak pada 12 Mei.

Mereka turun dari puncak pada 15 Mei.

Pendaki Solo Profesional, T. Ravichandran (kiri) bersama istrinya, Leela Ramamurthy mengalungkan bunga malai selepas tiba ke tanah air yang berjaya menawan Gunung Everest kali ke-3 di Lapangan Antarabangsa (KLIA), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 22 MEI 2022.

“Setiap kali ekspedisi baharu, pasti ada cabaran berbeza tetapi ia sebagai satu langkah membentuk keyakinan dalam diri saya. Bukan mudah… terpaksa menghadapi angin berkelajuan 25 kilometer per jam sehingga membuatkan jari (menjadi) sangat sejuk dan terpaksa memakai (tong) oksigen.

“Dalam masa sama, (saya perlu) memastikan klien sentiasa stabil dan tidak mudah mengalah untuk bersama-sama sampai ke puncak. Ia suatu momen yang menarik kerana dapat melihat eskpresi wajah mereka yang gembira,” katanya yang memiliki seorang anak.

Dalam pada itu, tekad untuk menawan Gunung Everest buat kali keempat tahun hadapan, alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga memaklumkan beliau akan melakukan persiapan yang rapi bagi meneruskan misi pendakian akan dilakukan tanpa menggunakan tong oksigen. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast