Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berucap pada Majlis Sambutan Hari Ibu 2022 di SK Datuk Keramat 1 & 2, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 100 orang ibu di setiap negeri akan dapat menikmati saringan kesihatan percuma sempena Sambutan Hari Ibu pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, program ini bermula pada 8 Mei lalu dan akan berakhir pada 31 Mei.

Katanya, golongan ibu boleh mendapatkan perkhidmatan ini di 49 Klinik Nur Sejahtera Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seluruh negara.

Jelas beliau, inisiatif yang dilaksanakan oleh LPPKN itu bertujuan untuk memastikan kesihatan golongan ibu dalam keadaan baik.

“Suka saya menggesa dan menggalakkan para ibu dan wanita yang layak untuk segera mendapatkan kemudahan ini demi kesejahteraan diri dan keluarga tercinta,” katanya pada majlis Sambutan Hari Ibu 2022 di Dewan 1 & 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Keramat.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff.

Terdahulu beliau berkata, terdapat 10 jenis kanser utama dalam kalangan wanita di negara ini yang dikenalpasti dalam tempoh antara 2012 sehingga 2016.

Ujar beliau, kanser payudara menduduki tempat pertama dengan kes positif adalah 21,925 kes manakala kanser serviks pula berada pada tangga ketiga dengan 3,981 kes positif.

Sehubungan itu, jelasnya, adalah penting untuk seorang ibu mengambil berat kesihatan masing-masing.

“Kepada para suami dan anak-anak pula, temanlah dan pujuklah isteri dan ibu kita untuk menjalani saringan kanser yang tersedia ini. Seseorang ibu amat mengambil berat kesihatan anak-anak dan suami, jadi inilah masanya suami dan anak-anak juga perlu membalas jasa ibu selama ini dengan melakukan perkara yang sama, bahkan lebih lagi untuk ibu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast