Orang ramai menunggu untuk berurusan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2022.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud . Foto MUHD NA’IM, 09 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Menyedari masih terdapat kelemahan dalam proses pengeluaran Passport Malaysia Antarabangsa (PMA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengumumkan penambahan waktu operasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, langkah itu diambil walaupun JIM telah mengambil beberapa penambahbaikan sebelum ini.

“JIM ingin memaklumkan bahawa semua Pejabat Imigresen di Pusat Transformasi Bandar di Semenanjung Malaysia akan beroperasi sehingga 10 malam mulai 25 Mei 2022.

“Walau bagaimanapun, Pejabat-pejabat UTC di Perlis, Terengganu dan Pahang hanya beroperasi sehingga jam 6 petang. Pejabat-pejabat UTC ini tidak terlibat dengan pemanjangan waktu operasi kerana jumlah permintaan PMA yang masih rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Khairul Dzaimee, pemanjangan waktu operasi di UTC adalah tambahan kepada waktu operasi pejabat-pejabat pengeluar PMA yang dibuka sehingga pukul 10 malam dan hari Sabtu, seperti mana yang diumumkan sebelum ini.

 “Orang ramai adalah diminta untuk sentiasa merujuk kepada maklumat terkini yang terdapat dalam portal rasmi dan media sosial rasmi JIM bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter-kaunter PMA khususnya di waktu pagi,” jelas beliau.

Media hari ini melaporkan berlaku kesesakan apabila orang ramai berpusu-pusu ke Jabatan Imigresen negeri bagi memperbaharui pasport antarabangsa mereka.

Di Johor Bahru umpamanya keadaan sesak apabila orang ramai menunggu di luar Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika kerana berhasrat memperbaharui pasport masing-masing. – MalaysiaGazette