HFMD cases children infectious disease Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dikesan meningkat hampir 50 peratus sepanjang tahun ini setakat semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Jumlah jangkitan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk tempoh pertengahan Mac hingga hari ini terus menunjukkan peningkatan apabila 6,197 kes dilaporkan sehingga Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr. Nor’ Aishah Abu Bakar berkata, perkembangan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 14 kali ganda berbanding Minggu Epidemiologi (ME) yang sama pada tahun lalu iaitu hanya 403 kes.

“Manakala jumlah kes mingguan dilaporkan pada ME 20/22 adalah 1,163 kes berbanding 1,138 kes pada ME19/2022 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 2.2 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehingga ME 20/2022 sebanyak 408 wabak telah dilaporkan di WP Kuala Lumpur dan Putrajaya, berbanding ME yang sama pada tahun 2021 iaitu sebanyak 32 wabak menunjukkan peningkatan sebanyak 13 kali ganda.

Jelas Dr. Nor’ Aishah, situasi semasa ini menjadikan jangkitan kes HFMD dikategorikan sebagai wabak apabila berlaku dua atau lebih kes dalam tempoh inkubasi dan di lokaliti yang sama.

Justeru, beliau menasihatkan supaya penjaga dan ibu bapa mengoptimumkan penjagaan kebersihan.

Tambahnya, pengusaha taska/ tadika juga rumah pengasuh turut disarankan supaya melakukan saringan di pintu-pintu masuk bagi memastikan hanya kanak-kanak tiada gejala HFMD memasuki premis.- MalaysiaGazette