Dadah jenis kanabis lebih 1.04 kilogram yang dirampas daripada sindiket mengedar dan menjual dadah didalangi lima warga asing dalam serbuan di Brickfields dan Petaling Jaya semalam. Ihsan IPD Brickfields.

KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di Lembah Klang dengan penahanan lima individu dalam dua serbuan berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Mohd Shukor berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Brickfields, telah menahan dua lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 21 hingga 23 tahun di kawasan letak kenderaan di sebuah kondominium di Sri Hartamas, Brickfields pada jam 6.15 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas mereka polis berjaya menjumpai satu beg didalamnya mengandungi satu ketulan mampat dadah jenis Cannabis seberat 1.04 kilogram di dalam kereta jenis Toyota Yaris yang dinaiki suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dadah jenis kanabis yang dirampas daripada sindiket mengedar dan menjual dadah didalangi lima warga asing dalam serbuan di Brickfields dan Petaling Jaya semalam. Ihsan IPD Brickfields.

Tambah beliau, hasil dari siasatan lanjut dan berpandukan maklumat kedua-dua suspek, polis telah menahan tiga lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 30 tahun dalam serbuan kedua pada jam 8.30 malam pada hari yang sama di sebuah kondominium di Petaling Jaya.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di unit kondominium tersebut berjaya membawa kepada penemuan 10 ketulan mampat daun kering dadah jenis kanabis dan satu paket plastik lutsinar mengandungi ceraian daun kering dadah jenis kanabis seberat 205 gram.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas mereka mendapati tiga suspek positif dadah jenis kanabis (THC) manakala dua lagi suspek negatif dadah.

“Tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari manakala dua lagi suspek ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama bermula hari ini,” ujarnya.

Menurut Amihizam, nilai rampasan dadah adalah berjumlah RM3,250 dan rampasan berkenaan boleh dibekalkan kepada lebih kurang 2,400 orang pengguna dadah.

Jelasnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Pilis Daerah (IPD) Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperolehi.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya. – MalaysiaGazette