SAC Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal yang berkhidmat sebagai Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri sejak Disember lalu kembali ke Bukit Aman.

Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor itu akan bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Beliau ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenainya kerana sedang menunggu arahan rasmi untuk melapor diri awal Jun ini.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain @Abd Rasid telah mengesahkan arahan pertukaran terhadap pegawai kanan berkenaan sudah dikeluarkan pihak atasan Polis Diraja Malaysia.

“Ya, arahan pertukaran sudah dikeluarkan dan dia (Nik Ezanee) sepatutnya perlu melaporkan diri sebelum atau pada 20 Jun ini untuk tugas baharu di Bukit Aman.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Aman umum pertukaran pegawai kanan termasuk Nik Ezanee 

“Dia akan memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa JPJKK di Bukit Aman. Lagi pun, sekarang sudah ada pegawai baharu yang telah pun ganti dia di PMO (Pejabat Perdana Menteri)..

“Mungkin dia sudah mula bercuti sekarang,” tegasnya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ezanee telah memulakan tugas sebagai juruiring PM selepas dilantik ke jawatan itu pada 20 Disember lalu.

Sebelum itu beliau yang merupakan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya telah dilantik menyandang jawatan Ketua JSJ Selangor berkuatkuasa sejak 12 April 2021.- MalaysiaGazette