Tangkap layar hantaran tular mendakwa polis menyalahgunakan kuasa menahan orang awam.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihaknya telag menyalahgunakan kuasa untuk menahan orang awam di sebuah gerai makan di Jalan Cheras Utama dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya mengesan satu hantaran tular di media sosial malam tadi oleh pemilik akaun yang mendakwa kononnya pihak polis menyalahgunakan kuasa menahan orang awam semalam.

“Hasil semakan yang dilakukan polis mendapati semasa anggota Balai Polis Cheras sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah pukul 2.30 petang kelmarin, mereka mengesan seorang lelaki tempatan disyaki membeli nombor ekor haram dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Ketika pihak polis mendekati lelaki itu dan mahu memeriksa telefon bimbitnya secara terperinci, individu itu tidak memberi kerjasama dan beredar dari lokasi dengan menaiki kereta ke rumah saudaranya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Muhammad Idzam, anggota polis berkenaan kemudian memaklumkan perkara itu dan meminta bantuan Ketua Balai Polis Cheras.

Kemudian katanya, pegawai polis yang hadir ke rumah lelaki itu telah menerangkan tujuan kehadiran mereka dan membawa individu berkenaan ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas telefon bimbit individu terbabit mendapati aplikasi WhatsApp dipadam menyebabkan bukti berkaitan pembelian nombor ekor haram dalam talian tidak dapat diperoleh.

“Selepas selesai proses dokumentasi, individu berkenaan telah dibebaskan tanpa syarat dan satu laporan polis dibuat berhubung kejadian itu,” katanya.

Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast