Ahmad Dasuki Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima RM1.9 bilion bayaran balik daripada 443,722 peminjam sepanjang tempoh pemberian diskaun bermula 1 November 2021 sehingga 30 April lalu.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, sepanjang tempoh berkenaan, semua peminjam terbabit menikmati insentif diskaun berjumlah RM206.89 juta.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para peminjam PTPTN yang telah membuat pembayaran sekaligus berpeluang menikmati diskaun.

“Ini membuktikan sokongan peminjam terhadap usaha Kerajaan dan PTPTN dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan untuk masa depan generasi akan datang dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman mereka.,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan yang bersetuju memberikan insentif diskaun bayaran balik selama lebih kurang lima bulan menerusi pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki berkata, pihaknya  berharap agar peminjam PTPTN akan menunaikan tanggungjawab untuk terus membuat bayaran balik secara konsisten.

Pembayaran balik secara konsisten akan dapat memastikan PTPTN untuk meneruskan pinjaman pendidikan kepada generasi akan datang.

“Ini untuk memastikan tiada pelajar yang gagal memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan masalah kewangan,” katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, PTPTN juga komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada para peminjam.

Katanya lagi, terkini bayaran balik pinjaman dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi myPTPTN yang boleh dimuat turun di telefon mudah alih melalui platform pengedaran digital seperti App Store bagi pengguna iOS, Play Store bagi pengguna android dan Huawei AppGallery bagi pengguna Huawei .- MalaysiaGazette