Logo Transparency International Malaysia

KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-M) memandang serius terhadap dakwaan kebocoran data dan penjualan data peribadi Pemegang Kad Pengenalan Malaysia di internet yang tular.

Ia kerana, kejadian seumpama ini bukan kali pertama berlaku di negara ini kerana penjualan data peribadi pendaftaran dan pengundi yang serupa melibatkan empat juta rakyat Malaysia sebelum ini berlaku pada bulan September 2021 di laman sesawang Raidforums.

Namun, pasaran ini telah digagalkan melalui operasi global yang diketuai oleh Amerika Syarikat pada tahun 2022.

Presiden TI-Malaysia, Muhammad Mohan menyifatkan kejadian ini bukan sahaja ancaman berulang terhadap privasi data peribadi rakyat Malaysia, malah menunjukkan kurangnya kejelasan dan kesungguhan kerajaan untuk memberi pendedahan secara telus dan membincangkan penyelesaian terbaik berhubung privasi data ini.

Tegasnya, jaminan secara lisan mengenai kekuatan firewall agensi kerajaan tidak mencukupi.

Oleh itu, TI Malaysia mengesa kerajaan untuk memberikan komitmen kepada siasatan telus terhadap pelanggaran tersebut kerana ia sangat diperlukan dan hasil siasatan harus dikongsi dengan rakyat.

Kabinet harus mengkaji kelemahan Akta Perlindungan Data. Peribadi (PDPA) 2012 (PDPA) dan undang-undang lain sedia ada serta membincangkan hasil dapatan dan cadangan penyelesaian untuk menyokong dan mengukuhkan kerangka yang ada.

Malah, kerajaan perlu membincangkan hasil dapatan dan cadangan penyelesaian untuk menyokong dan mengukuhkan kerangka yang ada.

Selain itu, TI Malaysia mahu kerajaan memastikan sistem keselamatan siber yang lebih utuh dilaksanakan untuk memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

”Dalam waktu kita memasuki dunia baharu 5G, IR4.0, metaverse dan agensi angkasa yang mencabar, kita tidak boleh leka dengan ancaman jenayah siber yang semakin meningkat serta kelemahan data dan privasi peribadi kita.

”Kita juga tidak boleh hanya berpuas hati dengan kejayaan masa lampau kita sambil menunggu perkara yang tidak boleh dibaiki berlaku sebelum kita mengambil tindakan,” katanya.

Awal minggu ini, laman sesawang teknologi Lowyat.net melaporkan set data JPN yang mengandungi maklumat seluruh rakyat negara yang lahir antara tahun 1940 hingga 2004 (kira-kira 22.5 juta orang) dijual secara talian di forum pasaran pangkalan data.

Penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data.

Data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikatakan turut dijual dan penjual menyatakan data tersebut diperoleh daripada platform MYIdentity, yang dilaporkan sebagai platform perkongsian data ditubuhkan untuk sektor awam yang membolehkan agensi mendapatkan maklumat peribadi daripada repositori berpusat.

Polis dilaporkan sedang menyiasat mengenai dakwaan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast