Idris Ahmad

BANGI – Pemberi maklumat dikenali sebagai ‘The Hood Man’ Abdullah yang mendedahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal di sebuah loji sembelihan di Australia tidak boleh dibawa ke Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ini kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai hak ke atas beliau  yang bukan warganegara Malaysia selain belum dapat dikesan sehingga kini.

Jelas beliau, selepas memberi maklumat kepada Jakim Malaysia di Australia, individu berkenaan gagal dihubungi namun berharap beliau dapat tampil memberi kerjasama bagi melengkapkan siasatan.

“Dia bukan rakyat kita, tidak ada hak paksa dia datang sini, tapi kita minta pihak yang menghubungi dia dapat dapat hubungi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Liqa’ Mahabbah Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM dan Sambutan Aidilfitri Bersama Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap SDK Jakim 2022 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahabat 99 mendedahkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh Thomas Food International (TFI) di Australia, yang mendapat kelulusan daripada Badan Induk Halal Jakim.

Jakim sudah menggantung kelulusan loji sembelihan TFI, Australia berkuatkuasa serta merta sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi. – MalaysiaGazette