Penyanyi, Datuk Aishah Ariffin bergambar selepas hadir ke Majlis pelancaran Single Terbarunya di Menara Symphony, Petaling jaya. Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2022.

PETALING JAYA – Syawal tahun ini tiba tanpa disangka oleh ramai umat Islam di seluruh negara.

Ketibaannya pada 2 Mei alu, sehari awal, ternyata memberi kesan kepada penyanyi legenda, Datuk Aishah, 57 tahun.

Bukan kerana persiapan hari raya yang kelam kabut namun beliau terkilan dan sedih apabila Ramadan berakhir dengan mengejut.

“Saya rasa bila hari raya tiba-tiba saya sedih sangat sebab tidak dapat ucap selamat tinggal kepada Ramadhan.

“Saya rindu sangat dengan Ramadan sampaikan Syawal ke-2 saya sudah mula berpuasa sunat Syawal. Saya tidak jangka raya sebab sudah fikir apa nak buat pada hari terakhir puasa kan dengan ibadah,” katanya ketika mengumumkan keluaran single terbaharu bertajuk ‘Ketentuan Takdir’.

Kata Aishah, Ramadan yang baru berlalu dijalaninya dengan begitu tenang apabila beliau memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ibadah setiap hari.

Tambahnya, beliau hanya menerima tawaran menyanyi sekali sahaja pada bulan itu demi memastikan fokusnya terhadap ibadah tidak terganggu.

“Bulan Ramadan lepas saya dapat tumpukan dengan tarawih, mengaji. Saya rasa tenang sangat Ramadan baru-baru ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette